Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Di sini lahirnya sebuah cinta, yang murni abadi sejati, di sini tersemai cita-cita, bercambah menjadi warisan. Pembaca budiman, masih tidak terlewat ingin kami berdua mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina 2022! Sengaja kami mulakan penulisan ini dengan bait-bait lirik yang cukup lekat di hati kita semua. Pelbagai suka duka telah kita lalui tahun lalu, daripada pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir, kemudian dengan rencam politik yang tidak berkesudahan serta diburukkan lagi dengan amukan alam, semuanya kita lalui dengan ketabahan dan percaya segala kesulitan akan ada kemudahan juga di hujungnya. 

Apabila meneliti cabaran yang dihadapi oleh setiap daripada kita, cabarannya dilihat kelihatan sama namun yang sebenarnya diri individu itu sendiri yang memahami sejauh manakah satu-satu cabaran itu mereka tempuhi. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Kita terus sahaja mengimbau peristiwa yang berlaku ketika musibah banjir pada 18 Disember 2021 yang lalu, tiada siapa antara kita pernah menjangka negara akan berdepan dengan musibah banjir seperti demikian.

Ramai hati yang terluka kerana saat cemas itu mereka menghadapinya dengan segala keupayaan dan kekuatan yang ada dalam diri. Mujur keprihatinan masyarakat sesama sendiri telah berjaya mengatasi cabaran-cabaran awal ketika mereka menempuhi saat-saat genting ini. Berdasarkan maklumat yang telah dibaca dan dikongsikan melalui media sosial rakyat Malaysia, dapat kita menyaksikan saat-saat genting ditimpa bencana ditangani dengan pantas dan penuh hikmah oleh masyarakat setempat. Walaupun berada dalam serba kekurangan serta tidak terlatih dalam misi memberikan bantuan, namun semangat untuk memberikan pertolongan awal kepada golongan yang memerlukan khususnya anak-anak kecil, kaum wanita, orang tua dan golongan OKU, telah menyebabkan perwira banjir ini tetap melakukan segala usaha untuk menyelamatkan mereka.

Kisah-kisah yang kami baca dan kami dengar, amat menyentuh nurani kami, dan kami berdua turut berusaha membantu sedaya-upaya dengan kemampuan kami dengan cara kami masing-masing.  Kami berdua juga ingin menyampaikan ucapan takziah kepada waris-waris yang ahli keluarga mereka telah terkorban dalam tragedi ini. Kepada yang bernasib baik dapat meneruskan kehidupan, kami berharap, anda semua tidak akan berputus asa dan perjalanan berliku kehidupan ini akan kita tempuhinya bersama-sama. 

Demikianlah Keluarga Malaysia, kita tidak pernah sunyi daripada dugaan dan cabaran dalam membina dan membangunkan keluarga sejahtera kita. Tidak semua antara kita yang akan menjalani kehidupan tanpa ada pasang surutnya. Peribahasa juga ada menyebut jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai tetapi usahlah pula kita seperti termasuk ke dalam belukar onak. Oleh yang demikian, Keluarga Malaysia haruslah bersatu hati dan saling menyokong antara satu sama lain agar kehidupan yang kita bina dan kita sediakan bagi generasi kita ini, adalah kehidupan yang akan melahirkan generasi Keluarga Malaysia tumbuh menjadi bijaksana. Pihak berwajib serta masyarakat mestilah saling membahu untuk merealisasikan hasrat ini.

Berdepan dengan pelbagai pengalaman mencabar sebenarnya telah mendekatkan diri kita dengan Yang Maha Kuasa. Semua Keluarga Malaysia memahami konsep ini kerana ada terkandung dalam prinsip Rukun Negara yang pertama iaitu kepercayaan kepada Tuhan. 

Namun begitu tidaklah tepat sekiranya kita meletakkan bulat-bulat bahawa apa yang terjadi semuanya atas kuasa Yang Maha Kuasa. Berfikir secara dewasa dan waras, amatlah perlu kita meneliti diri kita bahawa kerana tangan-tangan manusia jugalah kebinasaan alam ini terjadi. Tepuk dada tanyalah diri. 

Kita semua haruslah berterima kasih dan menghargai pejuang dan pembina negara bangsa Malaysia setiap masa, lebih-lebih lagi mereka yang telah mengilhamkan Rukun Negara ini. Menyedari rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai keturunan bangsa, budaya dan agama, prinsip Rukun Negara yang pertama iaitu kepercayaan kepada Tuhan menjadi nadi utama kesejahteraan negara sehinggalah ke hari ini.

Tanpa kita sedari, aktiviti ibadat setiap penganut menjadi titik penting pembudayaan keluarga Malaysia untuk bersatu. Ayuh semua, kita kembali meneliti keluarga Malaysia kita pada masa ini dengan mengkhususkan tumpuan kepada prinsip pertama Rukun Negara. Secara peribadi, jika dikaitkan dengan Rukun Negara yang pertama, ramai yang beranggapan ini hak peribadi atau individu. Namun, bagi kami berdua, ada yang unik ingin kami kongsikan tentang Rukun Negara yang pertama ini.

Mari bersama-sama kita memahami apakah yang dimaksudkan dengan rukun. Menurut Kamus Dewan Perdana (2020) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, rukun bermaksud pada makna pertama iaitu rukun Islam bagi penganut beragama Islam, manakala maksud yang kedua ialah perkara yang mesti dilakukan semasa melaksanakan sesuatu ibadat bagi memastikan ibadat seseorang Muslim sah atau sempurna dan makna yang ketiga bagi perkataan rukun yang direkodkan oleh kamus ini ialah perkara penting yang dijadikan dasar atau asas kepada sesuatu.

Berdasarkan makna yang ketiga ini ayuh kita jelajahi Rukun Negara yang pertama iaitu kepercayaan kepada Tuhan. Kita mulakannya dari rumah, perkuatkan ikatan ahli keluarga kita dengan pematuhan rukun negara yang pertama ini, dengan menghormati kepercayaan kita masing-masing. Kita saling menghormati dan kita percaya bahawa Yang Maha Kuasa sentiasa melindungi keluarga kita dan negara yang kita cintai ini. Peruntukanlah masa kita masing-masing bersama-sama dengan ahli keluarga, berkumpul atau mungkin juga secara individu dalam melaksanakan kepatuhan kita kepada rukun yang pertama ini.

Subuh ada signifikan tentang kebangkitan kita dengan permulaan hari yang baharu.  Rakyat dalam negara ini, memahami bahawa azan Subuh yang berkumandang itu adalah panggilan Yang Maha Kuasa kepada rakan-rakan Muslim kita. Walaupun menerima pelbagai reaksi dan kritikan tentang azan yang dikumandangkan, ada yang sumbang ada juga yang merdu, demi hidup rukun damai, masyarakat pelbagai kaum memahami ini tanggungjawab rakan-rakan yang beragama Islam. Laungan azan adalah panggilan mengadap Tuhan Yang Esa. Sebagai ibu pula, kami berdua mempunyai sudut pandang yang amat positif tentang senario yang difahami oleh seluruh rakyat Malaysia ini, bermakna bahawa bangkitlah dari tidur bertemulah Tuhan-Mu wahai anak-anak dan seluruh isi keluarga.

Diamati dengan sudut yang lebih seni, tidakkah kita semua sedari, waktu subuh inilah, sebenarnya seluruh rakyat Malaysia tidak kira apa bangsa, keturunan serta kaum dan agama, menundukkan diri kepada Yang Maha Kuasa. Subuh didapati mempunyai makna permulaan hari yang amat besar kepada seluruh rakyat Malaysia yang sebati dengan rukun pertama ini. Setiap daripada kita mewarisi tatacara atau rukun ibadat yang telah kita fahami dengan hasrat doa kita didengar oleh Yang Maha Kuasa. 

Percayalah dengan kata-kata kami ini, anda boleh menyaksikan kemakmuran kebebasan beragama yang kita nikmati ini, lantaran anugerah Yang Maha Kuasa kepada kita daripada rukun pertama yang telah sama-sama kita mewarisinya daripada generasi terdahulu. Sehubungan dengan itu, kami benar-benar berharap dan kepada anda yang masih culas atau belum benar-benar menikmati saat kebeningan Subuh, dalam memanjatkan doa kepada keamanan negara ini terus dipelihara-Nya, segeralah anda tunaikan. Jika kita masih belum menunaikannya, bermakna tanpa kita sedari kita telah pun mengkhianati rukun pertama yang ada pada Rukun Negara. Jika rukun pertama telah kita khianati bagaimanalah empat lagi rukun dapat kita hayati serta amalkan. 

Kita mesti berusaha bersungguh-sungguh memupuk rasa kehambaan dalam generasi kita kepada Yang Maha Kuasa, kerana di sinilah paksi jiwa yang teguh untuk meneraju diri tumbuh dewasa dengan mewarisi amanah dan bijaksana kelak dapat kita realisasikan. Tidurlah dengan lena, kerana tidur juga adalah ruang masa yang diciptakan oleh-Nya kepada kita, agar sebagai makhluknya kita memberikan ruang kepada kimia otak dapat dipulihkan semula setelah seharian bekerja. 

Tenaga dari dalam rumah dijana bukan sahaja dengan diet yang sihat, tetapi juga faktor sokongan moral antara ahli keluarga dan sudah pasti praktikal kerohanian menjadi asas kepada seluruh ahli keluarga dalam negara ini dapat tumbuh sempurna lengkap dengan jasmani, emosi, rohani, intelek dan komunikasi (Jerik). Pakej Jerik ini sebenarnya untuk melahirkan ahli keluarga yang keesokan hari siangnya dapat memanfaatkan tenaga ini ke tempat yang tepat dan bertujuan murni. Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit, peribahasa ini bukan semata-mata tentang harta benda wang ringgit, tetapi juga usaha menyatukan keluarga untuk menjana tenaga bijaksana perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat dan berterusan melalui Rukun Negara yang pertama.

Semua Keluarga Malaysia, mendidik ahli keluarganya dengan pematuhan adat resam yang unik yang dimiliki oleh setiap bangsa, walaupun ada yang tidak gemar untuk menuruti, tetapi perubahan fasa diri akan berlaku juga satu hari nanti, dan akhirnya menemukan kita dengan Rukun Negara yang pertama ini. Walau sejauh manapun perjalanan hidup kita, akhirnya kita kembali kepada akar diri, yang memahami bahawa kepercayaan kepada Tuhan itu satu dimensi yang tidak dapat dipisahkan daripada diri atau keluarga rakyat Malaysia walau di mana sahaja kita berada. Kelak, daripada permulaan inilah kerukunan hidup bernegara akan menyerlah serta menjadi tunjang utama pertahanan diri kita semua. Terima kasih Rukun Negara!


RABI’AHTULADAWYAH BINTI MD SALEH adalah perancang bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka. 

PROF MADYA Ts DR JESSICA ONG HAI LIAW adalah pakar psikologi bahasa dan Pengarah Hal Ehwal Korporat, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS