Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis siasat kematian dalam tahanan kelima dalam tempoh 3 minggu
Diterbitkan:  Feb 3, 2022 6:07 PM
Dikemaskini: 10:07 AM

Polis sedang menyiasat kes kematian dalam tahanan kelima yang berlaku dalam tempoh tiga minggu.

Kes terbaru membabitkan seorang lelaki berusia 38 tahun yang ditahan di lokap pusat Indera Mahkota di Kuantan, Pahang mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Azri Ahmad berkata lelaki itu dipindahkan dari Penjara Penor di Kuantan, Pahang untuk menghadiri mahkamah hari ini, 3 Feb.

Bagaimanapun, katanya pada 28 Jan lepas, lelaki itu mengadu sakit dada dan dibawa ke Hospital Kuantan untuk rawatan.

“Pada 2 Feb lepas, Hospital Kuantan memaklumkan bahawa OKT (orang kena tahan) meninggal dunia dan sebab kematian adalah Tuberklosis.

"Unit Siasatan Jenayah Mengenai Kematian Dalam Tahanan (USJKT) di bawah JIPS akan menjalankan siasatan terhadap kes itu," kata Azri.

Ini adalah kejadian kematian tahanan kelima sejak 13 Jan. Empat kes sebelum ini berlaku di lokap polis.

Pada 13 Jan lepas, seorang lelaki berusia 63 tahun meninggal dunia di lokap ibu pejabat polis daerah Taiping di Perak.

Tiga hari kemudian, seorang lelaki berusia 37 tahun meninggal dunia di lokap balai polis Pengkalan Chepa.

Pada 28 Jan lepas, seorang lelaki berusia 38 tahun meninggal dunia di lokap balai polis Marang, Terengganu.

Sehari kemudian, seorang lagi tahanan yang juga berusia 38 tahun meninggal dunia sejurus selepas ditahan polis di Kuala Kangsar, Perak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS