Selepas disaman oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berhubung isu vaksin, pendakwah bebas Mohd Rasyiq Mohd Alwi bercadang untuk mengemukakan saman balas sebanyak RM500 juta.
Mohd Rasyiq atau lebih dikenali sebagai Ustaz Abu Syafiq juga turut memohon maaf kepada Khairy dengan menyapanya sebagai "abang KJ".
"Saya akan saman balas RM500 juta. Saman menteri-menteri 'sedap sikit' sebab poket mereka berkepok," katanya melalui hantaran di media sosial.
Terdahulu hari ini, Khairy dilaporkan memfailkan saman fitnah terhadap anggota Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam dan Abu Syafiq.
Saman itu dibuat susulan tulisan di atas talian antara 20 Oktober tahun lepas hingga 10 Januari tanun ini berkaitan program vaksinasi Covid-19 kerajaan.
Saman-saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 Januari.
Ia merujuk kepada video, gambar dan tulisan di media sosial - Facebook, Youtube dan Instragram.
Saman itu difailkan melalui tetuan Rashid Zulkifli selepas defendan enggan mematuhi tuntutan Khairy antaranya supaya dakwaan-dakwaan mereka dipadam pada 16 Januari lalu.
Minta maaf
Dalam hantaran berasingan di laman sosialnya, Abu Syafiq berkata dia akan memadam segala posting dan video vaksin berkait dengan Khairy.
"KJ (Khairy). Saya minta maaf banyak-banyak. Maafkan saya ye (ya). Saya akan buang semua video dan posting saya pasal abang KJ tu.
"Usahlah abang KJ bersedih. Saya sayang abang KJ. Semua orang pun sayang. Allah sayang," tulis Abu Syafiq di Instagramnya.
Dia bagaimanapun turut membuat kenyataan sinis dengan menulis “Jangan 'sembah' vaksin usah per'tuhan'kan WHO”.
Dalam status lain, tanpa menyebut nama secara khusus, dia menulis “Haha” dengan tanda pagar #menteri koyak.