Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiada faedah layan kerenah PAS, kata Khaled
Diterbitkan:  Feb 3, 2022 3:12 PM
Dikemaskini: 7:12 AM

Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin berpandangan tiada faedah untuk parti itu melayan PAS yang disifatkannya terus melemparkan ugutan, tohmahan dan sanggahan.

Menurutnya pendirian Umno sudah terang lagi bersuluh sebaliknya hanya PAS yang tidak tahu apa yang dikehendakinya.

"Susah kalau orang kegilaan talak ini kerana dalam fikiran mereka dibuang sayang, ditelan pahit. Misi Umno dan BN seterusnya ialah untuk terus mara ke hadapan dan meninggalkan episod ini.

"Apa yang akan menentukan kemenangan BN ialah sokongan masyarakat pelbagai kaum. Jadi keutamaan mesti diberikan untuk meraih sokongan masyarakat majmuk Johor.

"Rakan Umno dalam BN mesti memahami ini - bahawa kemenangan mereka tidak lagi boleh disandarkan kepada Umno semata-mata. Mereka mesti tampil meyakinkan pengundi bukan Melayu bahawa BN mesti dikembalikan semula sebagai kerajaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Walaupun tidak mana-mana merujuk individu dalam PAS secara khusus, kenyataan Khaled sehari selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengkritik Umno, selepas kontroversi kerjasama antara kedua-dua parti terbabit menjelang pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Anggota Parlimen Marang itu antara lain berkata sudah "terang lagi bersuluh PAS mahu mengembalikan Umno ke pangkal jalan" iaitu perpaduan umat Melayu dan Islam mengikut acuan Islam.

"Pada masa yang sama, tidak meninggalkan mana-mana golongan yang tercicir dan bersama masyarakat majmuk dalam gagasan Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) bersama Bersatu.

"Akan tetapi, Umno masih lagi membawa pendekatan ‘asabiyyah Melayu yang hanya melibatkan Umno dan PAS sahaja serta meminggirkan sahabatnya sendiri daripada kalangan Bersatu," katanya.

Sementara itu Khaled berkata usaha meningkatkan sokongan bukan Melayu mesti menjadi strategi paling penting bagi BN.

"Kita mesti kembali kepada formula politik berkongsi kuasa dalam semangat perkongsian yang tulen. Bukan hanya melantik seorang dua wakil bukan Melayu dalam kerajaan sebagai gambaran sebuah kerajaan yang inklusif. Keterangkuman mesti bersandarkan hasrat yang tulen dan murni, bukan pementasan wayang yang olok-olok.

"Kedua, masyarakat bukan Melayu adalah bahagian penting dalam kehidupan sosial, ekonomi dan politik Malaysia. Sampai bila mereka harus mempunyai perwakilan sipi-sipi dalam kerajaan dan pentadbiran.

"Telah sampai masanya mereka menjadi sebahagian dari kerajaan dan menguruskan negeri dan negara ini secara bersama dengan Umno, parti terbesar orang Melayu.

"Terimalah hakikat bahawa hanya dengan Umno, kestabilan politik dan perkongsian kuasa itu boleh diuruskan dengan jayanya," katanya.

Selama 61 tahun pengundi bukan Melayu memberikan kepercayaan kepada BN dan sekarang adalah masa untuk kembali menyokong gabungan itu, katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS