Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Permohonan Rosmah singkir Sri Ram: Mahkamah tangguh 17 Feb
Diterbitkan:  Feb 3, 2022 12:35 PM
Dikemaskini: 4:35 AM

Pihak pendakwaan memerlukan lebih banyak masa untuk menjawab permohonan Rosmah Mansor bagi melucutkan kelayakan Gopal Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya (DPP) dalam kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai berjumlah RM7 juta membabitkan isteri bekas perdana menteri itu.

Sehubungan dengan itu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini melapangkan tarikh perbicaraan yang dijadualkan pada hari ini berhubung tiga permohonan Rosmah yang dikaitkan dengan kesnya.

Permohonan pertama agar Sri Ram disingkirkan sebagai DPP kanan dalam kes itu manakala permohonan kedua agar hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar kes berkenaan.

Permohonan ketiga pula adalah untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu rayuan Rosmah selepas mahkamah tinggi sebelum ini menolak permohonannya agar Zaini menarik diri daripada mendengar kes berkenaan.

Pada 14 Dis tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan pertama Rosmah agar Zaini menarik diri daripada mendengar kes itu atas dakwaan berisiko berat sebelah dan prejudis. Dia kini sedang membuat rayuan berhubung perkara itu di Mahkamah Rayuan.

Semasa prosiding mahkamah pagi ini, Sri Ram memaklumkan Zaini bahawa dia hanya melihat permohonan agar dia dilucutkan kelayakan pagi ini, memandangkan pasukan peguam Rosmah hanya menyerahkan salinan pendakwaan pada Isnin minggu ini, sejurus sebelum cuti Tahun Baru Cina.

Bekas hakim mahkamah persekutuan itu berkata pihak pendakwaan memerlukan lebih masa untuk menyediakan penghujahan bagi bantahan awal terhadap permohonan penyingkiran itu.

Pasukan peguam Rosmah yang turut dianggotai peguam Geethan Ram Vincent tidak mengemukakan bantahan terhadap penangguhan pendengaran pada hari ini bagi membolehkan pihak pendakwaan mempunyai lebih masa untuk menyediakan jawapan.

Hakim kemudiannya menangguhkan prosiding hari ini dan menetapkan 17 Feb untuk mendengar jawapan pihak pendakwaan, serta tiga permohonan Rosmah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS