mk-logo
Berita
Ancaman harimau: Taman Eko Rimba Air Menderu ditutup
Diterbitkan:  Feb 2, 2022 6:50 PM
Dikemaskini: 10:50 AM

Taman Eko Rimba Air Menderu di Kampung Chabang dekat Kerteh di Kemaman ditutup kepada semua pengunjung berkuat kuasa semalam ekoran ancaman harimau belang.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu Roslan Rani berkata maklumat penutupan itu telah diberitahu kepada orang awam melalui notis yang dikeluarkan jabatan.

“Jabatan Perhutanan mendapat maklumat daripada penduduk kampung dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu kemungkinan ancaman harimau di sekitar kawasan tersebut.

“Penutupan kawasan rekreasi itu adalah atas faktor keselamatan pengunjung dan tarikh pembukaan semula akan dimaklumkan kelak," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Chabang Ahmad Thalhah Ubaidillah Amri berkata kawasan rekreasi itu sering menjadi tumpuan pengunjung terutama ketika cuti am.

“Apa yang membimbangkan, ada penduduk kampung terserempak dengan harimau itu sejak akhir-akhir ini. Jadi, JPKK Kampung Chabang telah maklumkan kepada Perhilitan Terengganu dan Jabatan Perhutanan untuk mengambil tindakan sewajarnya dengan menutup sementara Taman Eko Rimba Air Menderu.

“Harimau itu pernah menyerang dua ekor lembu dan dua ekor anjing milik penternak. Buat masa ini, Perhilitan telah memasang satu perangkap harimau pada 23 Jan lepas. 

"Kami berharap pengunjung tidak datang ke sini untuk sementara waktu kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kelibat harimau itu kelihatan di Paka, Dungun dan sehingga kini masih belum ada tangkapan terhadap haiwan liar tersebut.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS