Asean Parliamentarians for Human Rights (APHR) menggesa Malaysia menghentikan gangguan terhadap ahli parlimen pembangkang di negara ini dan membenarkan mereka menjalankan tugas seperti biasa.
Gesaan itu dibuat selepas sekurang-kurangnya empat ahli parlimen dipanggil untuk disoal siasat oleh polis sejak beberapa hari lalu berhubung penglibatan mereka dalam protes antirasuah pada 20 dan 22 Jan.
APHR mengeluarkan kenyataan itu dengan merujuk kejadian ahli parlimen PKR, Maria Chin Abdullah dan Fahmi Fadzil, yang dipanggil polis Kuala Lumpur berhubung penglibatan mereka dalam protes menggesa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki direhatkan daripada menjalankan tugasannya.
Selain Fahmi dan Maria, Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan Teresa Kok (Seputeh) srta tiga Adun - Lim Yi Wei (Kampung Tunku), Young Syefura Othman (Ketari) dan Rajiv Rishyakaran (Bukit Gasing) - turut dipanggil pihak polis.
Beberapa pimpinan dari Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) juga tidak ketinggalan diambil keterangan.
“Membimbangkan apabila Malaysia terus-menerus menggunakan jentera kerajaan untuk mengganggu dan menakut-nakutkan suara pembangkang - termasuk ahli parlimen - sebagai sebahagian daripada cubaan menutup mulut mereka,” kata Risa Hontiveros.
Ahli parlimen dari Filipina yang juga anggota APHR itu menambah reaksi kerajaan terhadap tunjuk perasaan secara aman dan sah yang menggesa kebertanggungjawaban dalam sesuatu jawatan tidak seharusnya diganggu, sebaliknya menyiasat kebimbangan mereka.
Katanya menuntut sikap bertanggungjawab dan jawapan bagi dakwaan rasuah adalah penting dalam demokrasi, dan pihak berkuasa tidak boleh menghalangnya.
“Kami bersolidariti bersama rakan-rakan ahli parlimen terbabit dan mengingatkan kerajaan Malaysia bahawa pasukan polis harus digunakan bukan untuk mengganggu dan menakut-nakutkan pengkritik kerajaan tetapi untuk melindungi dan menghormati hak rakyat dalam membantah dan kebebasan bersuara,” katanya.
APHR berkata demikian ketika kedudukan Malaysia dalam penarafan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International jatuh lima anak tangga lagi berbanding tahun sebelumnya.
Dalam laporan tahunan APHR, di bahagian Ahli-ahli Parlimen Berisiko, yang diterbitkan pada akhir 2021, ia mendapati gangguan dari segi undang-undang terhadap ahli parlimen pembangkang di Malaysia telah meningkat dengan situasi yang membimbangkan bersama dengan tindakan keras yang lebih teruk terhadap kebebasan bersuara.