Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Jangan bawa sentimen menang selesa di Melaka untuk PRN Johor'

Jentera pilihan raya negeri (PRN) BN Johor tidak seharusnya bergantung kepada sentimen kejayaan gabungan itu dalam PRN Melaka sebelum ini, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Mohamad, selaku pengarah pilihan raya BN bagi PRN Johor akan datang, berkata setiap pilihan raya umum (PRU), pilihan raya kecil (PRK) atau PRN memerlukan strategi sendiri untuk dibincangkan dengan parti komponen.

"PRN ini tidak semudah apa yang disangka. Saya tidak mahu jentera BN ambil mudah kerana terbawa-bawa dengan sentimen menang selesa di Melaka, maka kita akan menang selesa di Johor.

"Salah kalau kita anggap begitu," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas rumah terbuka Tahun Baru Cina tahunan MCA di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur hari ini.

Majlis yang dianjurkan oleh Presiden MCA Wee Ka Siong itu menyaksikan kehadiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, pemimpin tertinggi BN dan anggota kabinet termasuk Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden MIC M Saravanan, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein, Ahli Parlimen Pekan Najib Razak dan lain-lain.

BN sebelum ini mengesahkan akan bertanding di semua 56 kerusi DUN Johor tetapi Mohamad berkata soal calon atau pembahagian kerusi masih belum dibincangkan oleh majlis tertinggi gabungan itu.

“Setiap PRK, negeri dan pilihan raya umum adalah berbeza, jadi kita perlu mengatur strategi.

“Ini termasuk pembahagian kerusi dalam kalangan komponen BN,” kata Mohamad.

Pada PRU ke-14 lalu, BN Johor telah meletakkan calon daripada Umno, MCA, MIC dan Gerakan.

Sejak itu, Gerakan telah keluar daripada gabungan itu untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, Mohamad mengulangi pendirian Umno bahawa kerajaan Johor tidak boleh terus berfungsi dalam keadaan "terancam" dengan hanya satu majoriti di Dewan, selepas Adun Kempas Osman Sapian meninggal dunia.

“Kita tidak mahu kerajaan yang sentiasa diancam, ada orang nak tekan butang.

"Bukan kita yang nak tekan butang, ada yang nak tekan butang. Tapi bila kami tekan butang, orang itu marah," kata Mohamad.

November lalu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin ketika membidas veteran Umno Shahrir Samad, dilaporkan berkata dia tidak takut untuk "menekan butang" dan mencetuskan kejatuhan kerajaan Johor.

Muhyiddin, yang juga penyandang Adun Gambir, mendakwa dia menentang daripada menarik balik sokongan kepada penyandang menteri besar Johor Hasni Mohammad kerana prihatin terhadap rakyat.

Sementara itu, Wee yang juga Pengerusi MCA Johor berkata isu pembahagian kerusi dan calon parti akan dibincangkan selepas cuti Tahun Baru Cina.

"Saya tidak akan melayan sebarang spekulasi. Saya akan umumkan calon-calon yang akan diturunkan untuk bertanding.

"Kita akan melalui proses tapisan calon. Kenapa kita pilih orang itu, bagaimana kita boleh menang, ini pengiraan kita," kata Wee.

Susulan pembubaran DUN Johor, Suruhanjaya Pilihan Raya dijadualkan bermesyuarat pada 9 Feb dan menentukan tarikh pilihan raya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS