Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KJ: Buat ujian kendiri sebelum ke rumah sanak-saudara
Diterbitkan:  Feb 1, 2022 11:49 AM
Dikemaskini: 3:49 AM

Susulan peningkatan kes Covid-19 di negara ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengingatkan agar orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengekang penularan wabak itu.

Pesanan tersebut terkandung dalam ucapan Tahun Baru Cina mereka hari ini.

“Seperti disaksikan sejak beberapa hari lalu, telah berlaku kenaikan kes Covid-19 di negara kita dengan bermulanya gelombang varian Omicron.

“Namun dengan kadar vaksinasi tinggi dan pematuhan SOP yang kita amalkan, saya yakin kita semua dapat mengatasinya serta menyambut musim perayaan ini dengan lebih selamat.

“Laksanakan ujian kendiri sebelum mengunjungi kaum keluarga dan rakan-rakan serta sentiasa patuhi SOP semasa melakukan aktiviti ziarah anda,” kata Khairy dalam hantaran di Facebook Kementerian Kesihatan hari ini.

Semalam, Noor Hisham berkata jumlah kes baru Covid-19 yang dilaporkan bagi minggu epidemiologi (ME) keempat yang bermula dari 23 Jan hingga 29 Jan lalu meningkat sebanyak 34.6 peratus kepada 31,980 kes berbanding 23,752 kes pada ME sebelumnya.

Katanya purata kes aktif turut dilihat meningkat sebanyak 14 peratus dengan purata 40,473 kes pada ME ketiga (dari 16 hingga 22 Jan 2022) kepada 46,158 kes pada ME keempat, dengan penurunan jumlah kematian.

Sementara itu, Noor Hisham dalam ucapan Tahun Baru Cina hari ini memberi amaran tentang bahaya berkumpul beramai-ramai ketika menyambut perayaan tersebut.

“Covid-19 sekali lagi mengekang kita daripada berkumpul beramai-ramai ketika Tahun Baru Cina ini.

“Kepada mereka yang menyambutnya bersama keluarga, apa yang penting ialah ujian kendiri dan lindungi mereka di dalam keluarga anda, yang mudah terdedah (dengan jangkitan itu),” katanya.

Tambah Noor Hisham, walaupun situasi jangkitan Covid-19 di negara ini semakin pulih dan stabil tetapi dia mengingatkan orang ramai supaya tetap mematuhi SOP dan penjarakan fizikal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS