Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Usia hampir 14 tahun ketika Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Feb 1974. Sebagai budak kampung saya hanya kenal Kuala Lumpur melalui TV hitam putih - TV1 dan TV2. Ketika itu TV3 dan TV satelit belum ada.

Akhbar Jawi, Utusan Melayu dan Utusan Zaman, adalah bacaan kami kerana harganya lebih murah berbanding Utusan Malaysia dan Berita Harian. Akhbar New Straits Times pula tidak sampai ke kampung kami.

Saya kenal Kuala Lumpur sebagai kota cinta menerusi media. Tulisan Kamal Amir, Bahyah Mahmood, Ahmad Idris, Jalil Salleh dan Khatijah Hashim banyak memaparkan dunia cinta, kisah artis dan liku lara Kuala Lumpur.

Saya bayangkan Kuala Lumpur syurga cinta.

Saya membaca novel Zahari Affandi, A Jalil Ali, Omar Manan dan Yahya Samah. Saya kenal cinta di Kuala Lumpur walaupun duduk di kampung. Saya baca novel Mona Gersang yang ganas mentafsirkan cinta, seks dan noda kota kosmopolitan.

Selepas mengenal Kuala Lumpur secara fizikal sejak 1982, saya baru sedar cinta bukan segala-galanya di Kuala Lumpur. Kuala Lumpur kota nasib atau daerah petaka bagi yang gagal. Kuala Lumpur kota korporat, milik kapitalis yang menguasai ekonomi dan persekitaran. Budaya hidup hadir di belakang sosok ekonomi dan taraf hidup.

Bagi warga kota raya berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan, anda antara warga miskin yang terperangkap dengan kesesakan jalan raya dan peluang mendiami rumah selesa.

Banjir cuma masalah marhaen

Gaji RM4,000 terlalu kecil untuk beras dan ikan kering, apatah lagi untuk keperluan kehidupan lain seperti hal-hal kekeluargaan, perbelanjaan anak ke pusat pengajian tinggi dan kos penjagaan anak kecil.

Pada 1 Feb 2022 genap 48 tahun Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persektuan. Usia yang sepatutnya matang namun kaya dengan permasalahan tersendiri. Setiap kali hujan lebat selama 45 minit atau lebih, beberapa jalan raya terpaksa ditutup kerana banjir kilat.

Sungai Klang dan Sungai Gombak yang sepatutnya menerima serta mengalirkan limpahan hujan meledak air ke kawasan berdekatan.

Penghuni Kuala Lumpur di beberapa kawasan marhaen sudah membudaya bersama banjir kilat. Saliran longkang tersumbat memberi kesan kepada persekitaran.

Lebih malang otak pintar sang penguasa kemudian menjadikan kawasan tadahan hujan sebagai lokasi pembangunan kawasan perumahan. Tiada siapa yang membantah kerana banjir kilat adalah masalah rakyat bawahan.

Kluster kayangan tidak terkesan oleh masalah harian golongan bawahan kerana mereka di puncak kuasa. Politik dan kapitalisme selalu bersekutu dalam merancang projek pembangunan di mana-mana kota besar seperti Kuala Lumpur.

Perancang bandar yang berada di bawah kekuasaan politikus dan kapitalis hanya merangka dan melaksana arahan daripada kluster kayangan. Penempatan golongan bawahan disusun agar berada di kawasan rendah, sesak, berhabuk. Kluster kayangan pula menempati kawasan tinggi. Bukit ditarah. Balak dilapah. Kehijauan dicemari atas nama pembangunan.

Tiada siapa yang boleh menyiasat kepincangan berlaku di Kuala Lumpur kerana warganya sudah maklum untuk hidup dalam kesesakan dan banjir kilat.

Kekecewaan nombor wahid

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seakan-akan tidak pernah berusaha untuk menyiasat hal-hal yang mencurigakan itu. Ia mungkin dapat difahami kerana agensi itu sendiri bermasalah dengan integriti.

Dengan jumlah penduduk sebesar 7.2 juta jiwa, Kuala Lumpur merupakan wilayah metropolitan dengan pertumbuhan paling pesat di Malaysia, baik dalam jumlah penduduk mahupun ekonomi.

Sejak berstatus bandar raya pada 1 Feb 1971, Kuala Lumpur bangkit dari segi ekonomi, kawasan perniagaan dan petempatan. Pada masa sama krisis kemanusiaan dan keselesaan juga diperhitungkan.

Satu penyelidikan pasaran oleh Frost and Sullivan terhadap 1,227 responden mendedahkan 41 peratus menganggap kesesakan lalu-lintas sebagai kekecewaan nombor satu, lebih tinggi daripada purata 35 peratus kadar bagi Asia Pasifik dan 29 peratus tahap global.

Rakan kongsi Asia-Pasifik merangkap Ketua Amalan Automotif dan Pengangkutan, Kavan Mukhtyar, berkata kesesakan lalu-lintas berpunca daripada pergantungan penduduk terhadap kereta, berbanding pada tahap global dan serantau.

Lebih 79 peratus penduduk Kuala Lumpur bergantung kepada pengangkutan persendirian seperti kereta manakala hanya lapan peratus bergantung kepada pengangkutan awam.

Sebelas peratus lagi menggunakan gabungan antara pengangkutan awam dan persendirian.

Sebahagian besar penduduk lebih lama berada di luar rumah kerana mencari rezeki dan sengitnya persaingan. Mereka bangkit seawal jam 5 pagi dan berada di jalan raya jam 6 pagi sebelum pulang ke rumah selepas 8 malam.

Mereka rakus dan ganas

Rumah mereka pula bukan kediaman tradisional seperti kampung kerana Kuala Lumpur adalah segala-galanya yang sudah berubah. Menghuni rumah pangsa, apartment dan teres bukan pilihan terbaik, namun inilah Kuala Lumpur yang cagaran keselesaannya amat tinggi.

Kita harus terima hakikat, suatu peta baru sudah dicipta untuk wilayah dan taman perumahan.

Nama yang asalnya berbunyi Melayu dan Nusantara sudah terhapus. 'Peta baru' Kuala Lumpur wujud bersama simbol dan semangat baru di Malaysia.

Nama Melayu di kawasan separa tradisional seperti Kampung Baru, Kampung Abdullah Hukum, Kampung Pandan, Kampung Kerinchi dan Kampung Datuk Keramat semakin dimodenkan dengan identiti baru yang kononnya lebih bugar dan glokal.

Kampung Kerinchi yang dulunya kawasan setinggan dan wilayah penagih dadah sudah bergelar Bangsar South. Tidak jauh dari situ, ada pula Bangsar Village. Kampung Abdullah Hukum dan Kampung Pantai Dalam sudah lusuh dari peta moden.

Hari ini kaum pemodal dan kapitalis rakus menfaraidkan wilayah negara bersama penguasa politik. Mereka tidak peduli bahasa dan budaya Melayu. Mereka glokal dan globalisasi. Mereka rakus dan ganas. Mereka lakukan apa saja kerana boleh pergunakan akta dan hukum kanun untuk mencapai hasrat masing-masing.

The Peak, Tivoli Villa, Atmosfera, Vista Millennium, Casa Prima dan Park Avenue wujudnya bukan di New York, London atau Toronto. Ia sebahagian daripada taman perumahan dan kondominium di Kuala Lumpur.

Nama lebuh raya di Lembah Klang pun semakin pelik. Ada Grand Saga. Ada Silk, Akleh, LDP, NKVE dan macam-macam yang aneh-aneh.

Namun itulah Kuala Lumpur. Segala-gala yang pelik ada di sini. Orang yang melompat parti pun ada di sini.

Orang yang mengkhianati bangsa pun juga dijulang sebagai wira. Hanya di sini - di Kuala Lumpur.

Pada usia 62 tahun, saya belajar mentafsir Kuala Lumpur. Sekarang bukan 1974 zaman saya membaca surat khabar Jawi.

Tahun 2022 adalah Kuala Lumpur yang kontang jiwanya. Saya gagal mencari cinta.

Kuala Lumpur bukan sekadar kehilangan cinta murni, kerana kita juga sudah hilang jati diri sebagai bangsa berjiwa besar!


IMLAN ADABI ialah sasterawan dan mantan penulis khas Berita Harian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS