Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pegawai PM: Laporan dakwa Ismail 'rayu PN tak tarik sokongan' adalah palsu
Diterbitkan:  Jan 31, 2022 5:35 PM
Dikemaskini: 9:35 AM

Setiausaha politik kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini membuat laporan polis terhadap tiga portal yang menerbitkan artikel politik, menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat mereka atas dakwaan berita palsu.

Laporan dibuat oleh Mohammad Anuar Mohd Yunus selepas portal tersebut menyiarkan artikel yang mendakwa Ismail "merayu" Perikatan Nasional supaya tidak menarik balik sokongan terhadapnya.

"Laporan ini dibuat berhubung ketiga-tiga laporan tersebut yang mengandungi kenyataan palsu dan adalah fitnah jenayah berkaitan kenyataan perdana menteri.

"Ketiga-tiga portal ini dengan sengaja dan tidak beretika telah membuat laporan yang salah dengan niat jahat dan mencemarkan nama baik perdana menteri serta menyebarkan kenyataan palsu juga menimbulkan kegusaran di kalangan rakyat," katanya dalam laporan polis yang dikongsikan kepada media.

Anuar membuat laporan di balai polis Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Menurutnya, ketiga-tiga portal berkenaan didakwa telah manipulasi kenyataan Ismail Sabri ketika ditanya oleh pemberita dalam satu majlis di Bera, Pahang pada 29 Januari lalu.

Dia mendakwa wartawan daripada portal-portal itu tidak dilihat ada di majlis itu.

"Laporan ini dibuat supaya pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan serius ke atas pemilik ketiga-tiga portal tersebut yang memutarbelitkan, menyiar dan menyebarkan berita palsu sehingga menjatuhkan kredibiliti perdana menteri dan menimbulkan kegusaran rakyat," katanya lagi.

Pada 29 Januari lalu, Ismail berkata kestabilan politik adalah penting untuk negara, dan tanpanya satu lagi kegawatan politik yang boleh menjejaskan ekonomi boleh berlaku.

Dia berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang, bahawa sokongan mereka terhadap kerajaan pusat pimpinan Ismail "bersyarat".

Hubungan antara BN yang dipimpin Umno dan Perikatan Nasional yang dianggotai oleh Bersatu dan PAS kian keruh dengan pemimpin kedua-dua gabungan bertelingkah antara satu sama lain secara terbuka, walaupun masih bersama dalam kerajaan persekutuan.

Umno enggan bekerjasama dengan PN dalam pilihan raya negeri Melaka pada November lalu, dan kemungkinan besar pendekatan sama akan diambil dalam PRN Johor nanti.

Mengeruhkan lagi keadaan apabila dua penyandang kerusi DUN Johor daripada Bersatu telah mengumumkan keluar parti untuk menyokong Umno.

Dua penyandang tersebut, iaitu Mohd Izhar Ahmad (Larkin) dan Mazlan Bujang (Puteri Wangsa) juga secara terbuka mengkritik kepimpinan Muhyiddin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS