Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rara nafi Melayu terpinggir dalam DAP
Diterbitkan:  Jan 31, 2022 12:54 PM
Dikemaskini: 4:54 AM

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari, Young Syefura Othman, menafikan dakwaan bahawa pemimpin Melayu dalam DAP ditindas atau diketepikan parti itu.

Dia yang lebih dikenali sebagai Rara berkata, pemimpin muda DAP khususnya Melayu diberi peluang untuk berpolitik dan tidak dipandang serong oleh veteran parti terbabit.

"Kalaulah kami ditindas, saya tidak akan berada di sini sekarang. Saya tidak akan menjadi wakil rakyat di DUN Pahang, kawan saya tidak menjadi wakil rakyat di parlimen.

"Kita lihat ramai DAP memberi peluang dan ruang kepada anak muda (termasuk) orang Melayu juga," katanya dalam wawancara bersama The Malaysian Insight.

Tambah wanita berusia 32 tahun itu, DAP memilih seseorang untuk menyertai pilihan raya berdasarkan merit.

"Kalau seseorang itu Melayu sekali pun, tapi kalau dia tak bersungguh-sungguh, tak dibuktikan kebolehan, dia tak akan dapat tempat juga.

"Jadi, berbalik kepada diri kita, kita nak menjadi pemimpin yang bagaimana, menjadi orang muda yang bagaimana, kita nak bekerja atau kita nak goyang kaki.

"Yang penting ialah bekerja kuat untuk diri, untuk parti dan untuk masa depan," katanya lagi.

Sebelum ini veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa orang Melayu dalam DAP diperalatkan oleh rakan Cina mereka.

Young Syefura adalah antara beberapa pemimpin muda Melayu DAP yang muncul sejak beberapa tahun lalu.

Selain Young Syefura, tokoh Melayu yang ditonjolkan DAP ialah Zairil Khir Johari, Syerleena Abdul Rashid, Jamaliah Jamaluddin, Sheikh Umar Bagharib Ali, Syahredzan Johan, Marina Ibrahim dan Edry Faizal Eddy Yusof.

Ramai daripada mereka - seperti Young Syefura - terpilih menjadi Adun. Namun di peringkat Dewan Rakyat, buat masa ini hanya seorang daripada 42 ahli parlimen parti itu Melayu, iaitu Ahli Parlimen Raub Tengku Zulpuri Shah.

Pemilihan parti baru-baru ini juga menunjukkan 70 hingga 80 peratus kepimpinan DAP di peringkat negeri adalah dalam kalangan orang Cina.

Ia secara tidak langsung membayangkan berlaku kekangan daripada ahli akar umbi terhadap perubahan yang cuba dibawa parti tersebut bagi membuktikan ia sebuah pertubuhan pelbagai kaum.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS