Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PH perlu momentum 3 kali ganda berbanding PRU14 - Penganalisis

Penganalisis politik melihat gandingan PH memerlukan momentum tiga kali ganda berbanding PRU14 untuk kembali menawan Johor dalam pilihan raya negeri (PRN) yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Felo Penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) Prof Awang Azman Awang Pawi berkata, sentimen PRN Johor kali ini sama sekali berbeza jika dibandingkan ketika PRU14.

Dia berkata antara perbezaan ketara adalah dalam komponen PH sendiri iaitu Bersatu, yang merupakan parti Melayu, tidak lagi bersama PH.

"Bersatu akan kehilangan pengundi Cina dan penyokong PH. Kini Bersatu berharap kerjasama dengan PAS yang pengaruhnya sangat minimum.

"PH pula perlu menarik dan meningkatkan undi Melayu bagi menampung pengundi yang dahulu menyokong Bersatu, iaitu sekitar 30 peratus, selain perlu menyakinkan lebih 80 peratus pengundi Cina agar turun mengundi.

"Namun pengundi Cina pula cenderung tak turun mengundi apabila dilihat kurang puas hati dengan pentadbiran PH selama 22 bulan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Awang Azman (gambar) berkata demikian ketika diminta mengulas situasi PRN Johor dan cabaran-cabaran parti-parti politik pada masa ini bagi menghadapinya.

Sebelum ini, pentadbiran yang diketuai BN hanya memiliki kelebihan satu kerusi setelah kematian Adun Kempas daripada Bersatu, Osman Sapian.

Berbeza dengan PRN Melaka, PKR akan bertanding menggunakan logo sendiri manakala DAP dan PH kekal dengan logo gabungan itu.

Untuk rekod, semua parti komponen PH menggunakan logo PKR pada PRU14 memandangkan gabungan itu belum didaftarkan secara sah pada masa itu.

Mengulas lanjut, Awang Azman berkata jika sebelum ini PH menggunakan isu rasuah dan penyelewengan seperti skandal 1MDB, isu tersebut tidak lagi seampuh sudah dulu memandangkan ia sudah pun dibawa ke mahkamah

"Maka momentum PH perlu dipertingkatkan tiga kali ganda untuk memastikan PH mampu tawan Johor," katanya lagi.

Faktor menyebelahi BN

Bagi pensyarah Jabatan Sosio Budaya Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya itu, terdapat beberapa faktor yang memungkinkan pengundi kembali beralih kepada BN menang kali ini.

Antaranya adalah kerana kepimpinan dan tadbir urus penyandang menteri besarnya Hasni Mohammad yang diterima oleh semua pihak termasuk pembangkang.

"Tidada kontroversi sepanjang Hasni memegang jawatan sebagai menteri besar. Malah hubungan kerajaan negeri dengan Istana juga dilihat mesra dan rapat sehingga Sultan Johor berkenan untuk membubarkan DUN. Tidak timbul isu untuk menggantikan Hasni dengan pemimpin lain.

"SOP (prosedur operasi standard) kempen dan pelbagai bantuan sepanjang dan selepas tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) memberi kelebihan kepada penyandang kerajaan seperti yang berlaku di Melaka dan Sarawak," katanya.

Dia juga membangkitkan harga kelapa sawit yang meningkat mencecah kira-kira RM1,000 setan berbanding sebelum ini, yang menurutnya akan meningkatkan lagi keyakinan pengundi kepada penyandang pentadbiran.

"Dijangka pengundi lebih melihat isu setempat mereka berbanding isu nasional," kata Awang Azman.

Ditanya berhubung penggunaan logo berasingan oleh PKR dan PH, dia berkata perkara itu menjadi ujian besar untuk menentukan sama ada logo PKR atau PH lebih diterima penyokong pembangkang.

"Ia suatu eksperimen untuk penentuan logo manakah yang lebih relevan dan paling diterima pengundi berdasarkan keputusan PRN Johor ini.

"Logo yang paling mendapat pengaruh dan sokongan dalam PRN Johor dijangka akan digunakan untuk PRU akan datang. Penggunaan logo PH juga dijangka ada kaitan dengan rundingan yang bakal diadakan dengan pembangkang lain seperti Muda, Warisan dan Pejuang.

"Jka dipersetujui, parti-parti pembangkang tersebut mungkin akan guna logo PH, namun ia tidak semudah dijangka kerana masing-masing mahu menguji kekuatan berdasarkan logo dan pengaruh sendiri," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS