Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PRN JOHOR | Pemuda PKR (AMK) mencadangkan sekurang-kurangnya enam daripada 20 calon PKR yang akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Johor adalah daripada sayap parti itu.

Ketua AMK, Akmal Nasir berkata, langkah itu selaras dengan syor agar sekurang-kurangnya 30 peratus calon terdiri daripada golongan muda, dengan turut mengambil kira pertambahan pengundi muda.

"Kami akan mengemukakan kepada kepimpinan parti untuk namakan enam calon AMK," katanya kepada pemberita di Johor Bahru hari ini.

Ditanya sekiranya ada kerusi yang telah dikenal pasti, Akmal berkata perbincangan setakat ini merangkumi kerusi di kawasan bandar termasuk di Johor Bahru dan kawasan luar bandar.

"Di kalangan kami, kami dah kenal pasti kerusi calon anak muda tapi pada saya lebih baik bincang dengan anak muda dulu,” katanya.

Ditanya sama ada AMK akan memberi laluan di kerusi tertentu kepada calon Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Akmal berkata rundingan diadakan di peringkat individu dalam Perikatan Harapan (PH) dan Muda.

"Di peringkat AMK, kami pikul tanggungjawab supaya tampil calon muda," katanya.

Berhubung peluang untuk merebut undi di kalangan pengundi berumur 18 hingga 21 tahun, Akmal berkata PRN ini merupakan ruang bagi mereka untuk menyampaikan pandangan di kotak undi.

Menurut Akmal, selain isu peningkatan kos sara hidup, terdapat isu membabitkan golongan muda yang bukan dianggap isu arus perdana seperti kebimbangan mengenai privasi aplikasi MySejahtera.

"Pada pandangan kita mungkin bukan isu mainstream tapi kalau kita berjaya menyedarkan mereka bahawa inilah ruang untuk anak muda bersuara menyampaikan pandangan mereka melalui kotak undi," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS