Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Tumpahan minyak paip bocor merebak ke Pantai Timur Thailand

GLOBAL | Pantai Mae Ramphueng di wilayah timur Rayong di Thailand diisytiharkan sebagai kawasan bencana, selepas tumpahan minyak dari saluran paip dasar laut yang bocor merebak hingga ke pesisiran pantai itu pada, Jumaat.

Media tempatan melaporkan kira-kira 200 anggota tentera laut dan 150 pekerja dari Star Petroleum Refining Public Company Limited (Star Petroleum), pemilik saluran paip terlibat, dikerahkan untuk membersihkan pantai.

Gabenor Rayong Channa Iamsaeng berkata, pelawat dilarang memasuki kawasan itu untuk membolehkan operasi pembersihan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Kawalan Pencemaran Attapol Charoenchansa berkata minyak yang dihanyutkan ke darat setakat ini telah dilarutkan menggunakan bahan pengurai.

“Ia boleh diserap menggunakan kertas khas dan dilupuskan,” katanya dipetik oleh Thai PBS.

Kebocoran pada saluran paip itu berlaku kira-kira pukul 9 malam (waktu tempatan) pada Selasa dan kebocoran itu dihentikan awal Rabu. Tumpahan minyak yang dibawa arus ke pantai pada Jumaat, mencemarkan pesisir pantai untuk jarak lebih dua kilometer.

Dianggarkan kira-kira 50,000 liter minyak mentah bocor daripada saluran paip itu, kira-kira 20 kilometer ke tenggara Kawasan Perindustrian Map Ta Phut.

Imej satelit daripada Agensi Pembangunan Geo-Informatik dan Teknologi Angkasa (GISTDA) menunjukkan tompokan minyak seluas 47 kilometer persegi hanyut ke arah pantai Rayong pada Jumaat.

Awal minggu ini, pihak berkuasa berkata ia mungkin mengambil masa lebih sebulan untuk memulihkan kawasan pantai yang terjejas.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS