Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ibu bapa kanak-kanak kurang upaya juga perlukan sokongan - Pakar

Kanak-kanak kurang upaya tidak boleh dilihat sebagai 'beban', kata pakar yang berurusan dengan individu yang memerlukan keperluan khas.

Bagaimanapun ia bukan bermakna ibu bapa yang mempunyai anak kurang upaya tidak memerlukan bantuan dan penjagaan diri mereka sendiri, kata penasihat Majlis Intervensi Awal Kanak-Kanak Kebangsaan (NECIC), Dr Amar-Singh HSS.

Dia berkata di negara lain, terdapat perkhidmatan penjagaan untuk membantu ibu bapa dan penjaga bagi anak-anak kurang upaya supaya mereka boleh berehat seketika atau menjalankan tugas.

Perkhidmatan sedemikian sering disediakan oleh kerajaan tempatan atau disubsidi oleh kerajaan di negara maju.

"Ini adalah perkhidmatan yang sangat penting," kata Amar-Singh kepada Malaysiakini.

“Pada masa lalu, kita mempunyai keluarga besar untuk membantu kita dalam hal ini.

"Tetapi sekarang - memandangkan kita adalah masyarakat yang sangat bandar, sokongan keluarga besar seperti ini tidak benar-benar ada untuk kita," tambahnya.

Perjuangan penjaga dan orang tersayang mereka - yang berdepan stigma dan tidak mendapat sokongan mencukupi daripada jaringan keselamatan sosial sedia ada - baru-baru ini menjadi topik hangat di media sosial di Malaysia.

Ini berlaku selepas kematian tragis dua kembar lelaki berusia 11 tahun yang ditemui meninggal dunia di taman permainan di Upper Bukit Timah, Singapura pada 21 Jan. 

Kembar itu dipercayai memerlukan keperluan khas - yang tidak dinyatakan.

Bapa mangsa, Xavier Yap Jung Houn, 48 tahun, kemudian didakwa atas tuduhan membunuh salah seorang kembar berkenaan, Ethan Yap E Chern.

Amar Singh, yang juga pakar perunding pediatrik, berkata 15 peratus rakyat Malaysia dipercayai mengalami kecacatan, dengan 2 hingga 3 peratus mengalami kecacatan teruk yang memerlukan penjagaan yang lebih.

Di sebalik angka itu, dia berkata sokongan melalui dana awam adalah kurang berbanding negara seperti UK dan New Zealand, di mana sokongan untuk kanak-kanak kurang upaya adalah wajib.

“Ini bermakna apabila anda mempunyai anak kurang upaya, tidak kira apa kelas sosial anda, sama ada anda kaya atau miskin, anda mendapat sokongan wajib.

“Saya fikir sokongan seperti itu adalah kritikal, dan itu diwajibkan oleh undang-undang di sana. Kita perlu memikirkan perkara ini di negara kita juga.

“Buat masa ini, kita hanya mempunyai sokongan untuk mereka yang benar-benar miskin - mereka yang berada di bawah paras kemiskinan,” katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS