Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Moga semangat 'selamatkan Malaysia' menjelma kembali di Johor - Lim
Diterbitkan:  Jan 29, 2022 10:33 AM
Dikemaskini: 2:35 AM

PRN JOHOR | Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang mengakui rasa kecewa berikutan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dicerminkan dalam peratusan keluar mengundi pilihan raya Melaka dan Sarawak.

Bagaimanapun, kata pemimpin utama DAP kesatuan rakyat Malaysia pada pilihan raya umum 2018 untuk "selamatkan Malaysia" boleh menjelma semula dalam pilihan raya Johor akan datang.

"Bolehkah rakyat Malaysia bersatu dan bangkit untuk kali kedua dalam tempoh empat tahun untuk menyelamatkan Malaysia dalam Pilihan Raya Umum ke-15 daripada menjadi Venezuela Asean?

"Ini adalah tugas yang akan menjadi lebih berat dan sukar berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14 bagi rakyat Malaysia yang kini dilanda kekecewaan, kemurungan, putus harapan dan juga rasa putus asa - dengan rasa pasrah yang tiada apa yang akan berubah.

"Adakah kita menyerah dan menyerah kepada kleptokrat, kakistokrat dan membiarkan Malaysia menjadi Venezuela Asean dalam dekad akan datang," soal Lim pada satu kenyataan.

Lim berkata Venezuela pernah menjadi 20 negara terkaya di dunia tetapi kini berdepan dengan krisis kemanusiaan dan negara itu kini berdepan kebankrapan serta rakyat hidup dalam kemiskinan.

Katanya, Malaysia juga berada dalam kemerosotan dengan memetik kemelesetan terburuk negara selama dua tahun dalam Indeks Persepsi Rasuah (TI CPI) Transparency International.

Malaysia berada di kedudukan ke-54 dalam TI CPI pada 2012 apabila sistem pemarkahan baru diperkenalkan.

Kedudukan Malaysia menjunam ke tangga 62 pada 2017, iaitu ketika kemuncak skandal 1MDB. Bagaimanapun, ia meningkat kepada kedudukan 51 pada 2019 bawah kerajaan PH yang runtuh pada 2020.

Namun, kedudukan Malaysia kembali merosot pada kedudukan ke-57 pada 2020 dan 62 pada 2021, sama seperti ketika kemuncak skandal 1MDB pada 2017.

Lim berkata rakyat Malaysia perlu menyekat penurunan itu.

“Rakyat Malaysia mesti bangkit dan bersatu semula untuk menyelamatkan negara daripada menjadi Venezuela Asean buat kali kedua dan pilihan raya negeri Johor seharusnya menjadi permulaan misi kedua ini demi masa depan anak-anak kita,” katanya.

Dengan menjadikan China sebagai perbandingan, Lim berkata negara itu pernah dilabel sebagai "Orang Sakit Asia", tetapi dengan pembaharuan ekonomi dalam tempoh 40 tahun yang lalu, ia berjaya mengeluarkan 850 juta orang daripada kemiskinan.

“Sekiranya tiada pertukaran kerajaan di Malaysia pada 9 Mei 2018, kita akan menjadi 'Orang Sakit Asia' menjelang 2030 atau 2040, tetapi kini kita kembali semula ke trajektori kleptokrasi, kakistokrasi dan negara yang gagal, adakah kita pasrah dengan nasib ini untuk anak-anak dan cucu-cucu kita," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS