Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno sedang meniti kebangkitan mutlak, kata Zahid
Diterbitkan:  Jan 28, 2022 8:37 PM
Dikemaskini: 12:37 PM

Ahmad Zahid Hamidi hari ini menasihatkan ahli Umno agar bersama-sama dengannya memperkasakan parti dan tidak menjadi duri dalam daging atau unsur yang mengganggu proses tersebut.

Katanya, ketika ini Umno sedang bergerak dalam "kebangkitan mutlak" melalui kekuatannya sendiri.

Mengulas mengenai isu kemungkinan akan ada usul agar pemilihan parti diadakan sebelum pilihan raya umum (PRU) akan datang, ahli parlimen Bagan Datuk itu berkata, Umno harus rasional untuk menjaga kepentingan ahli akar umbinya.

Matlamat itu katanya mengatasi kepentingan kelompok kecil dalam Umno yang mungkin berfikiran jumud dengan agenda sendiri.

"Nasihat saya, jika tidak berupaya menjadi garam, jangan pula menjadi langau.

"Janganlah kita menjadi duri dalam daging semasa Umno sedang meniti sebuah kebangkitan mutlak. Perkukuhkan, perkasakan, perhebatkan Umno dengan kekuatan kita sendiri," katanya dalam kenyataan petang ini.

Umno kini sedang menjadi perhatian ramai khususnya ekoran tindakan bersendirian parti itu mengusahakan pilihan raya negeri (PRN) di Johor tidak lama lagi.

Hanya laporan bahagian yang sahih

Pembubaran dewan undangan negeri itu juga menyaksikan PAS - yang menjadi rakan Umno melalui Muafakat Nasional - secara ketara menunjukkan rasa kurang senangnya.

Beberapa pemimpin kanan, termasuk Presiden PAS Abdul Hadi Awang, secara terbuka mengkritik tindakan Umno Johor dan menganggapnya sebagai langkah "kluster" tertentu dalam parti tersebut.

Walaupun tidak menyebut secara khusus, istilah "kluster" yang dikaitkan dengan Umno biasanya merujuk kepada sekumpulan pemimpin kanan parti terbabit yang sedang dibicarakan di mahkamah.

Seorang daripada mereka ialah Ahmad Zahid sendiri, selain Ahli Parlimen Pekan, Najib Razak.

Pemerhati politik berpendapat ada sesetengah pihak dalam Umno sendiri tidak senang dengan kepemimpinan Ahmad Zahid dan sedang cuba merangka gerakan bagi menggantikannya dalam pemilihan akan datang.

Justeru mereka mendesak agar pemilihan itu diadakan sebelum PRU dilangsungkan.

Ahmad Zahid berkata memang ada bahagian yang bercadang mengemukakan usul agar pemilihan parti diadakan sebelum PRU namun jumlahnya sangat kecil berbanding keseuruhan bahagian yang ada.

Katanya berdasarkan maklumat daripada ketua-ketua bahagian Umno di seluruh negara hanya enam daripadanya yang mengemukakan usul tersebut, bukannya 96 seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Justeru katanya pemilihan parti tersebut bukan ditentukan oleh maklumat yang tidak sahih.

"Saya tidak tahu bagaimana pihak yang membuat dakwaan itu mendapat angka 96, namun laporan yang saya terima daripada bahagian-bahagian Umno adalah yang rasmi dan sahih," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS