Datin Seri Rosmah Mansor mendakwa Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun bertindak melangkaui bidang kuasanya apabila melantik Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan bagi menerajui siasatan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan melakukan pendakwaan ke atas mereka yang terlibat.
Isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu berkata demikian melalui afidavit sokongan yang difailkan bersama notis usul bagi menyingkirkan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan untuk mengetuai pendakwaan dalam kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai yang dihadapinya.
Notis usul itu difailkan semalam (27 Jan) dan media memperoleh salinan dokumen itu daripada peguam Rosmah, Datuk Geethan Ram Vincent hari ini.
Dalam afidavit sokongan itu, Rosmah berkata selepas meneliti surat pelantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu sebagai timbalan pendakwa raya kanan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Tatacara Jenayah bertarikh 21 Mei 2021, didapati pelantikan itu tidak merujuk kepada kes dihadapinya.
Rosmah berkata jika mahkamah berpendapat bahawa Idrus telah bertindak secara teratur selaras dengan kuasa statutorinya, maka Sri Ram masih bukan individu yang ‘layak dan sesuai’ untuk menjalankan pendakwaan kes itu.
“Saya menegaskan bahawa peguamcara saya akan berhujah lanjut berkenaan perkara ini secara terperinci ketika pendengaran permohonan ini kelak dan adalah jelas bahawa Sri Ram harus disingkirkan sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes ini,” katanya.
Sementara itu, menerusi notis usul berkenaan, Rosmah mendakwa pelantikan Sri Ram adalah tidak sah di sisi undang-undang dan terbatal.
Permohonan berkenaan akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan pada 3 Feb ini.
Rosmah, 70, berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di Kuala Lumpur dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.
- Bernama