Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Indeks rasuah merosot: 'Jangan lengah bentang RUU banteras rasuah'
Diterbitkan:  Jan 27, 2022 7:33 PM
Dikemaskini: 11:33 AM

Persatuan Bekas Pegawai SPRM berkata pihaknya memandang serius berhubung kemerosotan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 oleh Transparency International baru-baru ini.

“Pencapaian negara di kedudukan ke-62 daripada 180 negara serta skor 48 adalah pencapaian yang paling buruk dalam sejarah negara di abad ini.

“Persatuan ini memohon semua pihak daripada parti politik kepada NGO, termasuk semua agensi sama ada agensi kerajaan mahupun swasta bangkit dari keselesaan dan kealpaan untuk kembali sedar akan kepentingan Indeks Persepsi Rasuah dalam menjana perkembangan ekonomi dan pelaburan asing ke negara ini.

“Kerajaan perlu tanpa berlengah membentangkan rang undang-undang mengenai dana politik, Ombudsman dan misconduct of public office," kata presidennya Mazlan Mohamad dalam kenyataan hari ini.

Dalam CPI 2021 yang dikeluarkan Transparency International 25 Januari lalu, kedudukan Malaysia merosot berbanding pada tahun sebelumnya, iaitu di tangga ke-57 dengan skor 51.

Untuk rekod, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada 15 September lalu berkata Rang Undang-Undang Ombudsman Malaysia dijangka akan dibentangkan tahun ini.

Ombudsman Malaysia adalah badan bebas yang tidak berpihak bagi menyelesaikan aduan orang ramai terhadap agensi kerajaan.

Dalam pada itu, Mazlan berkata terdapat beberapa lagi aspek yang perlu disegerakan yang dapat memberi impak kepada usaha mencegah rasuah di negara ini.

Antaranya pemisahan jawatan peguam negara dan pendakwa raya, pengisytiharan harta oleh ahli politik dan pegawai kanan kerajaan kepada SPRM dan pelantikan ahli politik dalam badan kerajaan dan syarikat milik kerajaan.

Dia juga mencadangkan agar kerajaan memperluaskan kuasa Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), agar bukan sahaja memantau inisiatif pencegahan rasuah tetapi sebagai badan kawal selia SPRM.

“Sudah tiba masanya agar semua inisiatif yang dibangunkan dalam Pelan Anti-Rasuah Nasional dilaksanakan tanpa secara terpilih.

"Semua agensi kerajaan dan swasta pula perlu komited untuk melaksanakan analisis risiko rasuah untuk mengenal pasti risiko serta membangunkan pelan antirasuah

masing-masing untuk melaksanakan mitigasi bagi mengatasi risiko rasuah yang dikenal pasti," katanya lagi.

Di pihak SPRM pula, dia berkata suruhanjaya itu perlu melaksanakan penguatkuasaan undang-undang secara menyeluruh dan menghindari sebarang unsur siasatan secara terpilih.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS