Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar gesa kerajaan buat keputusan tuntas isu urusan umrah
Diterbitkan:  Jan 27, 2022 5:52 PM
Dikemaskini: 9:52 AM

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menggesa kerajaan mengambil pendekatan serius bagi menangani isu berhubung urusan haji dan umrah.

Gesaan itu hadir selepas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri hari ini berkata penerbangan semula jemaah umrah ke Arab Saudi tidak semestinya dilaksana pada 8 Feb depan.

Menurut Anwar, yang menerima kunjungan daripada delegasi Gabungan Pengendali Umrah pagi tadi, pelbagai isu yang dibangkitkan adalah berpunca daripada masalah dasar dan perencanaan kerajaan.

"Ketiadaan libat urus dan penyelarasan yang serius antara Kementerian Pelancongan dan pemain-pemain lapangan seperti agensi-agensi pelancongan yang menguruskan urusan haji dan umrah sangat mengecewakan tatkala beban yang ditanggung mereka memberi kesan yang sangat besar.

"Ini membuktikan ia adalah masalah ‘decision making’ (membuat keputusan) yang sangat lemah di pihak kementerian-kementerian terlibat yang tidak membuat keputusan yang jitu dan tuntas," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kerajaan menangguhkan sementara kebenaran perjalanan ibadah umrah berkuat kuasa 8 Jan sebelum ini susulan penularan varian Omicron Covid-19.

Semalam, Nancy mengumumkan keputusan Kabinet membenarkan umat Islam untuk ke tanah suci Mekah bagi menunaikan ibadah umrah mulai 8 Februari ini.

Bagaimanapun, media hari ini melaporkan Nancy sebagai berkata penerbangan semula jemaah umrah ke Arab Saudi tidak semestinya dilaksana pada 8 Feb depan.

Jelasnya, ini kerana banyak perkara yang perlu dimuktamadkan sebelum penerbangan dibuat.

"Sebelum ini diumumkan penggantungan selama satu bulan dari 8 Januari sehingga 7 Februari... Tidak semestinya (8 Februari) terbang terus, mungkin kena uruskan prosedur operasi standard (SOP) dan tempahan serta sebagainya.

"Saya tidak kata boleh terus terbang, tetapi ikut perkataan, boleh bermula," katanya seperti dilapor Astro Awani.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS