- Dikemas kini dengan kenyataan penuh Mohamad dan Lim.
DAP dan Amanah hari ini mengeluarkan kenyataan bersama untuk meneruskan kerjasama dengan PKR dan pembangkang lain, termasuk parti baru Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng petang ini mengeluarkan kenyataan bersama menegaskan perkara itu selepas PKR akan menggunakan lambang sendiri dalam pilihan raya negeri Johor.
“Walau apapun keputusan PKR, kedua-dua Amanah dan DAP akan terus bekerjasama dengan PKR serta parti-parti pembangkang lain termasuk Muda untuk menawarkan satu barisan yang bersatu padu bagi meyakinkan pengundi untuk memilih kerajaan Pakatan Harapan dalam pilihan raya Johor,” kata Mohamad dan Lim.
Dalam kenyataan panjang hari ini, DAP dan Amanah juga berkata akan terus menggunakan logo PH sebagai tanda perpaduan yang mencerminkan iltizam masa hadapan serta aspirasi untuk membentuk kerajaan melalui sebuah gabungan yang bersatu padu.
“Pengecualian menggunakan logo ini hanya diberikan kepada parti-parti komponen Pakatan Harapan di Sabah dan Sarawak atas dasar status istimewa serta kuasa autonomi wilayah-wilayah Borneo ini,” kata mereka.
Berikut kenyataan penuh Mohamad dan Lim:
Walaupun berbeza pendapat dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), kedua-dua Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) menghormati keputusan PKR untuk menggunakan logonya sendiri dalam pilihan raya negeri Johor.
Manakala Amanah dan DAP akan terus menggunakan logo Pakatan Harapan sebagai tanda perpaduan yang mencerminkan iltizam masa hadapan serta aspirasi untuk membentuk kerajaan melalui sebuah gabungan yang bersatu padu.
Sebagai satu gabungan, sudah tentu Amanah dan DAP inginkan semua parti gabungan bersatu di bawah satu lambang bersama yang berpegang kepada matlamat bersama dan agenda politik bersama. Kedua-dua Amanah dan DAP berpendapat bahawa parti-parti komponen serta parti-parti sahabat perlu duduk bersama, sama ada sewaktu senang atau sewaktu susah.
Pakatan Harapan telah membuat keputusan untuk menggunakan logo bersama pada April 2018 setelah berkali-kali mengadakan rundingan. Setelah mencapai kata putus menggunakan satu logo bersama, logo PKR telah dipilih untuk digunakan bagi pilihan raya umum ke-14 kerana pihak kerajaan BN melalui Pendaftar Pertubuhan enggan mendaftarkan PH pada masa itu.
Satu logo bersama amat penting untuk meyakinkan pengundi bahawa Pakatan Harapan serius untuk menjadi kerajaan, dan berusaha bergerak bersama sebagai satu pasukan dalam pilihan raya. Pengundi atas pagar lazimnya akan memberi sokongan positif kepada mana-mana gabungan yang mereka yakin mampu menang serta dilihat bekerjasama sebagai satu pasukan walaupun ada beberapa perbezaan antara mereka.
Amanah dan DAP akan terus mengekalkan Pakatan Harapan. Kita masih ada tiga kerajaan negeri di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan untuk meneruskan usaha memenuhi keperluan rakyat. Atas sebab inilah, Amanah dan DAP akan tetap menggunakan logo Pakatan Harapan bagi meneruskan usaha untuk kembali menjadi kerajaan.
Tak pernah sebuah parti menang bersendirian
Sepanjang 65 tahun Merdeka, kerajaan yang memerintah sentiasa terdiri daripada gabungan parti-parti politik. Tidak pernah ada sebuah parti yang menang bersendirian atau berhak memerintah sendiri. Kerana itulah Umno sentiasa bersama dengan BN dan terus menggunakan logo BN walaupun ia merupakan parti yang dominan di negara ini sejak beberapa dekad lalu.
Apabila memenangi pilihan raya umum 2018, Pakatan Harapan akhirnya didaftarkan dengan logonya sendiri. Malah untuk kembali ke arena politik, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menggunakan logo Pakatan Harapan untuk memenangi pilihan raya kecil Port Dickson pada Oktober 2018.
Pengecualian menggunakan logo ini hanya diberikan kepada parti-parti komponen Pakatan Harapan di Sabah dan Sarawak atas dasar status istimewa serta kuasa autonomi wilayah-wilayah Borneo ini.
Kita akui apabila menjadi kerajaan pada 2018 hingga Februari 2020, pentadbiran Pakatan Harapan mempunyai beberapa kelamahan. Namun ada banyak kejayaannya walaupun cuba dinafikan serta diputarbelitkan oleh pihak lawan.
Antara yang usaha boleh dibanggakan ialah kejayaan melawan rasuah yang dibuktikan melalui penarafan oleh Indeks Persepsi Rasuah Transparency International. Indeks Tahun 2019 yang meletakkan Malaysia di tangga ke 51 (53 mata) sedangkan indeks yang sama bagi tahun 2021 melihat Malaysia menjunam ke tangga ke 62 (48 mata) di bawah pemerintahan BN yang bekerjasama dengan Perikatan Nasional.
Jika Pakatan Harapan diberi mandat penuh untuk mentadbir selama lima tahun, dan jika ia tidak dikhianati beberapa Ahli Parlimen yang tamak kuasa melalui Langkah Sheraton selepas hanya 22 bulan menjadi kerajaan, sudah tentu lebih banyak lagi kejayaan dan kemajuan untuk rakyat yang boleh dicapai.
Antara pemimpin kanan yang berada dalam kabinet Pakatan Harapan ialah Timbalan Perdana Menteri, Wan Azizah Wan Ismail dan Saifuddin Nasution daripada PKR; Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang ketika itu mewakili Bersatu, dan tiga wakil Warisan. Antara lain, perkongsian kuasa ini berpegang kepada prinsip tanggungjawab bersama, iaitu berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
Dalam pilihan raya mengejut Johor ini, semua parti pembangkang akan menghadapi cabaran sengit untuk melawan Umno-BN dan Perikatan Nasional. Dengan menggunakan satu logo bersama, ia akan memudahkan pengundi melihat Amanah, DAP, PKR and Upko sebagai satu gabungan Pakatan Harapan yang padu dalam kalangan pelbagai parti politik baharu dan lama yang masuk ke gelanggang pilihan raya kali ini.
Walau apapun keputusan PKR, kedua-dua Amanah dan DAP akan terus bekerjasama dengan PKR serta parti-parti pembangkang lain termasuk MUDA untuk menawarkan satu barisan yang bersatu padu bagi meyakinkan pengundi untuk memilih kerajaan Pakatan Harapan dalam pilihan raya Johor.
Inilah masanya untuk pengundi Johor mengembalikan mandat kepada Pakatan Harapan bagi memastikan kerajaan Umno-BN tidak terlepas daripada tanggungjawabnya kerana gagal menguruskan pandemik Covid-19, kegawatan ekonomi, lockdown atau kawalan pergerakan yang dibuat berkali-kali yang menyebabkan kerugian kewangan lebih RM500 bilion tanpa berjaya mengatasi jangkitan virus, krisis politik yang berulang-ulang serta ketidakstabilan pentadbiran, bencana banjir yang mengorbankan lebih 55 nyawa dan kerugian RM20 bilion serta skandal rasuah yang kembali berleluasa.
MOHAMAD BIN SABU
LIM GUAN ENG