Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

  • Dikemas kini dengan laporan penuh dan kenyataan Mohamad Sabu.

PKR dan Amanah masing-masing akan bertanding 20 kerusi dalam pilihan raya negeri Johor manakala DAP akan bertanding 16 kerusi, kata sumber-sumber Pakatan Harapan (PH).

Dengan itu, PKR dan Amanah mendapat tambahan lapan kerusi manakala DAP pula dua.

Kerusi-kerusi ini dalam pilihan raya umum lalu ditandingi oleh Bersatu - yang kini berpaling tadah membentuk kerajaan bersama BN.

Johor mempunyai keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)

Bagaimanapun, pintu rundingan masih belum tertutup dengan pembangkang lain - Parti Pejuang Tanah Air, Parti Warisan Sabah dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Sin Chew Daily melaporkan Mohamad di Johor Bahru sebagai berkata rundingan dengan ketiga-tiga pembangkang itu masih berjalan dan akan dimuktamadkan dalam tempoh dua hari.

Bagaimanapun, situasi dilihat lebih anjal kali ini apabila DAP dan Amanah mempunyai lebih suara selepas PKR memutuskan menggunakan logo sendiri.

Presiden PKR Anwar Ibrahim sebelum ini berkata akan menulis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar kuasa surat watikah penamaan calon PH diserahkan kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Ini bermakna Amanah dan DAP masih boleh memberikan laluan kepada mana-mana individu, malah kepada calon luar, untuk bertanding menggunakan lambang PH.

Pejuang sebelum ini berkata akan bertanding di 42 kerusi.

PH sebelum ini berharap pembangkang dapat bergabung tenaga untuk menumbangkan BN dan Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, berkaitan pembahagian kerusi, tidak jelas bagaimana agihan kerusi ditandingi Bersatu sebelum ini diagihkan, atau kemungkinan terdapat sebarang pertukaran kerusi.

‘Kita tanam, dia datang petik hasil saja’

Setakat ini, pemimpin Wanita PKR Johor Napsiah Khamis mendedahkan bahawa kerusi Puteri Wangsa diberikan kepada Amanah.

“Kita dah bersihkan lalang, kita dah semai benih, ‘dia’ hanya datang memetik hasil,” tulisnya di media sosial.

Napsiah bagaimanapun berkata akan tetap menggerakkan jentera PKR untuk membantu kemenangan PH.

Puteri Wangsa dimenangi oleh Mazlan Bujang (Bersatu) pada 2018.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS