Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemilihan logo berbeza jadi bahan ujian untuk PH

PRN JOHOR | Penggunaan dua lambang yang berbeza oleh parti dalam Pakatan Harapan (PH) kali ini dianggap sebagai satu bentuk ujian mudah gabungan itu sebelum mereka memasuki pilihan raya umum (PRU).

Timbalan Pengarah Strategi PKR, R Ramanan, berkata hasil daripada uji kaji di Johor nanti mungkin dapat digunakan untuk meyakinkan parti komponen lain dalam PH agar menggunakan lambang PKR pada PRU ke-15.

Pada masa sama Ramanan berpendapat "tidak tepat" untuk menganggap perkembangan yang berlaku semalam itu menunjukkan parti dalam PH kini tidak lagi sehaluan.

"Mungkin persepsi orang awam ada yang berfikir begitu, tapi realitinya rakyat semua tahu bahawa PKR, Amanah dan DAP bekerjasama dalam semangat satu keluarga.

"Dan ini juga mungkin boleh dianggap sebagai litmus test (ujian mudah, atau ujian litmus) untuk pilihan raya yang akan datang

"Saya rasa dengan cara ini kita boleh melihat sebarang hasil," katanya malam tadi.

Semalam PH memutuskan untuk menggunakan dua lambang berbeza bagi menghadapi PRN yang akan diadakan tidak lama lagi.

PKR menggunakan lambang parti itu, manakala Amanah dan DAP memilih logo PH.

Ruang perbincangan sentiasa terbuka

Keputusan berkenaan dibuat dalam mesyuarat Majlis Presiden PH Petaling Jaya dan diumumkan kepada media oleh pengerusi gabungan berkenaan, Anwar Ibrahim. 

Ia mengundang reaksi yang pelbagai daripada orang ramai dengan sesetengahnya menganggap PH kini sudah tidak lagi sehaluan, atau sekurang-kurangnya bermasalah.

Ramanan berkata salah satu sebab PKR memilih lambang parti itu sendiri ialah berdasarkan hasil yang dibuktikan sebelum ini, terutama ketika PRU ke-14 yang diadakan pada 2018.

Katanya PKR yakin orang ramai dapat mengaitkan logo tersebut dengan perjuangan yang dibawa parti berkenaan serta pelbagai kesukaran yang pernah dilalui mereka, khususnya Anwar yang juga presiden parti itu.

"Dan ia adalah lambang yang sudah teruji. Orang ramai boleh 'dihubungkan' dengan bendera PKR.

"Sebab itulah pemimpin membuat keputusan - melalui presiden - untuk memilih cara sebegini," katanya.

Jika hasil PRN Johor nanti menunjukkan strategi tersebut lebih berkesan, kata Ramanan, mungkin ia akan menjadi hujah yang lebih kuat untuk mereka meyakinkan parti lain agar menggunakan lambang PKR dalam PRU ke-15.

"Bagaimanapun, sudah tentu ia masih terbuka untuk dibincangkan dalam kalangan pemimpin parti komponen PH," tambahnya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS