Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Marina: Kesihatan Dr Mahathir tunjuk peningkatan

Kesihatan Dr Mahathir Mohamad yang kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) menunjukkan peningkatan hari ini, kata Marina Mahathir.

Anak sulung bekas perdana menteri itu berkata selera makan Dr Mahathir bertambah baik, malah sempat berseloroh dengan ahli keluarga yang berada di sisinya.

“Dr Mahathir juga diberitahu mengenai ucapan selamat yang disampaikan oleh begitu ramai pihak termasuk pemimpin-pemimpin negara asing serta orang ramai.

“Dr Mahathir berserta keluarga berasa terharu dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan agar beliau segera pulih,” kata Marina dalam kenyataan hari ini.

Marina berkata Dr Mahathir yang akan terus mendapat rawatan di IJN di bawah pengawasan pakar tempatan, meminta orang ramai agar tidak terlalu bimbang mengenai keadaan kesihatannya.

“Buat masa ini, pihak IJN tidak membenarkan pelawat selain keluarga terdekat,” katanya.

Sabtu lepas, Marina dalam kenyataan memaklumkan bahawa keadaan Dr Mahathir stabil dan memberi respons yang baik kepada rawatan lanjutan prosedur elektif yang dijalankan 8 Jan lepas.

Dr Mahathir dimasukkan ke IJN pada 7 Jan bagi menjalani prosedur perubatan elektif sehari selepas itu dan dibenarkan keluar pada 13 Jan.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS