mk-logo
Berita
Penebangan hutan jelas tidak bagus untuk harimau - Pakar

Pengarah Program Negara Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar (WCS) Malaysia Mark Rayan Darmaraj menyangkal dakwaan pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan Abdul Khalim Abu Samah bahawa kawasan hutan yang ditebang adalah baik untuk harimau.

Mark ialah pengarang utama kertas penyelidikan pada 2009 mengenai kepentingan pembalakan dilakukan secara terpilih di hutan untuk pemuliharaan harimau, yang telah digunakan untuk menyokong kenyataan Khalim dalam laporan berita.

“Kita perlu mengkontekstualisasikan apa yang dimaksudkan dengan pembalakan (logging) dan penghapusan hutan (deforestation) kerana ini adalah dua istilah yang berbeza.

“Penghapusan berlaku apabila seluruh hutan ditebang untuk memberi laluan kepada jenis guna tanah yang berbeza – biasanya perladangan, projek pembangunan atau infrastruktur

“Penebangan hutan (secara hapus semua pokok - clear felling) jelas tidak bagus untuk mana-mana hidupan liar termasuk harimau. Noktah,” kata Mark (gambar, bawah) melalui e-mel kepada Malaysiakini hari ini.

Pembalakan pula merujuk kepada menebang pohon kayu secara terpilih daripada konsesi pembalakan tertentu, yang akan menyebabkan hutan itu rosak dan terganggu tetapi secara amnya masih utuh sebagai hutan semula jadi, katanya.

Kertas kajian pada 2009 itu ditulis oleh Mark dan Shariff Wan Mohamad bertujuan untuk mendapatkan maklumat mengenai kepadatan harimau di hutan yang dibalak secara terpilih.

Berdasarkan tinjauan perangkap kamera selama sembilan bulan di Hutan Simpan Gunung Basor di Kelantan, mereka menganggarkan kepadatan purata harimau dewasa di kawasan itu ialah 2.59 ekor bagi setiap 100km persegi.

Mark mengambil maklum kajian pada 2009 itu hanyalah anggaran kepadatan populasi harimau yang kedua dilakukan di Malaysia.

“Pada masa itu, tidak banyak yang diketahui tentang ekologi harimau di Malaysia selain kajian lain di Taman Negara.

"Ia menunjukkan bahawa hutan yang dibalak secara terpilih mempunyai potensi untuk menampung kepadatan harimau yang tinggi," katanya.

Kajian itu juga merujuk bahawa penjanaan semula tumbuh-tumbuhan selepas pembalakan terpilih boleh membolehkan mangsa harimau membiak dan seterusnya berpotensi menyumbang kepada kepadatan harimau yang lebih tinggi.

Gambar fail, penghapusan hutan di Kelantan.

"Pun begitu, lebih penting lagi kertas itu dengan jelas menyatakan bahawa hipotesis ini masih perlu disiasat lebih lanjut dan sangat penting untuk mengenalpasti kaveat dalam mentafsir perkara ini, yang tidak berlaku di sini," kata Mark.

Jelasnya, Khalim tidak salah dalam menyatakan aktiviti pembalakan membuka kanopi hutan yang menyebabkan lebih banyak anak-anak pokok tumbuh berikutan peningkatan pendedahan kepada cahaya matahari.

Bagaimanapun, kepadatan populasi harimau yang lebih tinggi bergantung kepada banyak faktor lain, tambahnya.

“Walaupun banyak kajian, kesan jangka panjang pembalakan terpilih terhadap hidupan liar tidak difahami dengan jelas.

“Ini terutamanya kerana ramalan jangka panjang yang kelihatan lemah bagi tindak balas spesies individu terhadap pembalakan dan kesan pembalakan sekunder yang berkait rapat, seperti peningkatan pemburuan haram yang dibantu oleh laluan mudah melalui jalan pembalakan.

“Pada beberapa tahun kemudian, kajian PHD saya menunjukkan bahawa harimau mempunyai kepadatan yang jauh lebih tinggi di dalam hutan primer (hutan dara) berbanding dengan hutan yang dibalak walaupun mereka bersebelahan antara satu sama lain,” katanya.

Katanya, sudah tentu penebangan hutan merupakan "ancaman yang lebih besar" terhadap habitat harimau dan hidupan liar lain.

Oleh itu, Mark menggesa pasukan petugas harimau yang dipengerusikan oleh perdana menteri untuk segera mengkaji usaha pembiayaan bagi melindungi hutan semula jadi sedia ada, dan bukannya membahaskan sama ada pembalakan baik untuk harimau atau tidak.

Untuk rekod, dari tahun 1995 ke 2008, terdapat antara 450 ke 500 harimau liar di Semenanjung Malaysia, menurut data Pusat Kepelbagaian Bio Malaysia (MBC) Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).

Bagaimanapun, Survei Harimau Kebangsaan Pertama yang dijalankan dari 2016 hingga 2018 mendapati populasi haiwan lambang jata negara itu kini kurang 200 ekor dan dijangka pupus dalam masa sepuluh tahun lagi.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS