Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRN Johor: Pemimpin Bersatu JB cadang kembali kerjasama dengan PH
Diterbitkan:  Jan 25, 2022 7:03 PM
Dikemaskini: 11:03 AM

Timbalan Ketua Bersatu Johor Bahru Razrul Anwar Rusli membangkitkan cadangan agar partinya kembali bekerjasama dengan PH, bagi melawan Umno dalam PRN Johor.

Mencadangkan nama gabungan Muafakat Rakyat Johor, Razrul mencadangkang parti pembangkang lain, seperti Pejuang, Muda dan Warisan untuk turut dilibatkan.

“Formula gabungan PH sebelum ini berjaya pada PRU14. Kemuafakatan dalam parti dan rakan seperjuangan adalah kunci kejayaan untuk menang dalam PRN Johor,” kata Razrul dalam kenyataan, seperti dipetik Sinar Harian hari ini.

Cadangan itu bermakna “membatalkan” Langkah Sheraton, di mana Bersatu mengambil langkah keluar daripada PH dan membawa kepada kejatuhan kerajaan PH-Warisan.

Pemimpin Bersatu yang tidak setuju dengan langkah itu kemudian menubuhkan Pejuang dan Muda.

Cadangan itu di saat Umno - yang bersama-sama Bersatu dalam kerajaan persekutuan dan negeri - dilihat cuba menyingkirkan parti itu.

Bersatu merupakan parti utama dalam gabungan Peringkatan Nasional (PN) yang merangkumi PAS, Gerakan, Star dan SAPP.

Umno pula memimpin BN yang dianggotai MCA, MIC dan PBRS.

Terdahulu, Pengerusi Umno Johor Hasni Mohammad berkata BN akan bertanding secara solo dalam PRN yang bakal diadakan, berdepan PN dan PH.

Dalam pada itu, Razrul menekankan penyatuan penting untuk menewaskan Umno dan BN.

Parti yang menentang BN mesti berada di bawah satu panji. Jika tidak, sia-sia sahaja kerana kemenangan akan berpihak kepada Umno,” katanya lagi.

Bersatu dalam ancaman

Bekas pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad pernah memberi amaran bahawa Umno akan memusnahkan parti itu jika kedua-duanya bekerjasama.

Kedua-dua parti menyasarkan orang Melayu sebagai asas sokongan mereka.

Namun, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin ketika itu dilihat bimbang dengan pergelutan parti itu untuk meraih sokongan orang Melayu ekoran kerjasama dengan DAP, terutama selepas tewas dalam PRK Tanjung Piai pada 2019.

Muhyiddin kemudian membawa keluar Bersatu daripada PH dan mewujudkan kerjasama dengan pembangkang pada masa itu. Dia kemudian mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 1 Mac 2020.

Namun 17 bulan kemudian, ahli parlimen Umno menarik sokongan terhadapnya menyebabkan dia hilang majoriti. Dia kemudian digantikan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob.

Buat masa ini, Bersatu kekal sebahagian dalam kerajaan pimpinan Umno tetapi Umno tidak berselindung dalam menyatakan hasratnya untuk melawan Bersatu dalam PRU15.

Dengan kemenangan besar di Melaka pada November lalu, PRN Johor dilihat sebagai usaha menguatkan momentum BN sebelum PRU15 diadakan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS