Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lanjutkan moratorium pinjaman bank 6 bulan lagi, kata DAP
Diterbitkan:  Jan 25, 2022 5:30 PM
Dikemaskini: 9:30 AM

DAP hari ini menggesa kerajaan persekutuan untuk melanjutkan moratorium pinjaman bank dan dan pengecualian faedah yang akan tamat tempoh tidak lama lagi.

Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng berkata langkah itu perlu kerana terdapat sentimen perniagaan dan keadaan ekonomi yang lemah ditambah dengan kenaikan harga barangan.

“Walaupun Jabatan Perangkaan (DOS) melaporkan bahawa inflasi tahunan meningkat sebanyak 2.5 peratus pada 2021 berbanding 1.2 peratus deflasi yang dialami pada 2020, realiti di bawah adalah kenaikan harga barangan yang jauh lebih tinggi, terutamanya barang makanan.

“DOS melaporkan bahawa indeks harga pengguna (IHP) bagi Dis 2021 melonjak kepada 3.2 peratus berbanding bulan yang sama pada 2020, melepasi purata kadar inflasi IHP bulanan sepanjang sedekad lalu (2011-2021) sebanyak 1.9 peratus,” dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Lim, industri perbankan mampu memikul beban moratorium yang dilanjutkan dan pengecualian faedah.

“Lanjutan moratorium pinjaman bank dan pengecualian kadar faedah selama enam bulan akan membantu menyelamatkan nyawa dan mata pencarian,” katanya.

Tambahnya, ini memandangkan industri perbankan mampu mencatatkan keuntungan selepas cukai setinggi RM20 bilion bagi tahun 2021 walaupun menanggung kos pengecualian kadar faedah sebelum ini dan moratorium pinjaman bank tahun lalu.

Pada Jun tahun lalu, perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej bantuan kewangan RM150 bilion yang dinamakan Pemulih (Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi).

Pakej itu termasuk moratorium pinjaman bank selama enam bulan kepada semua peminjam, tanpa mengira tahap pendapatan mereka.

Pada Disember tahun lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata Putrajaya telah meminta bank untuk terus membantu peminjam yang menghadapi masalah kewangan dalam membayar balik pinjaman mereka dan menangguhkan tindakan undang-undang terhadap peminjam yang mungkir.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS