Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KATA ADUN | Kemerosotan indeks rasuah dan gagalnya kerajaan Melayu-Islam

KATA ADUN | Kedudukan ke-62 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) oleh badan antarabangsa Transparency International pada tahun 2021 sudah dijangkakan.

Kedudukan rasuah negara kian merosot berbanding tahun lalu iaitu di tangga ke-57 walaupun kedudukan rasuah telah dipulihkan PH ke tangga 51 pada tahun 2019 dengan rekod skor tertinggi sebanyak 53 mata.

Kedudukan ini jelas menunjukkan bahawa pengkhianatan mandat rakyat oleh Umno, PAS dan Bersatu membawa malapateka kepada negara ini.

Kedudukan terkini Malaysia seakan-akan menunjukkan satu trend yang akan membawa negara kembali ke zaman kleptokrasi. Ketika BN memerintah, Malaysia pernah merekodkan prestasi terburuk iaitu tangga 62 pada tahun 2017.

Pentadbiran kerajaan Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri yang berpegang kepada konsep scheme of things untuk mendapat sokongan ahli Parlimen dengan pemberian jawatan dan saiz kabinet yang besar adalah salah satu amalan rasuah dalam politik telah menyumbang kepada kemerosotan indeks rasuah.

Di samping itu, beberapa bekas pemimpin negara di zaman BN yang dilepaskan daripada pertuduhan kes rasuah juga satu faktor penyumbang, selain beberapa faktor lain termasuk projek-projek besar yang meragukan seperti 5G di bawah Digital Nasional Berhad (DNB) dan laporan ketirisan wang perbelanjaan jabatan kerajaan sebanyak RM620.07 juta oleh ketua audit negara.

Kedudukan indeks rasuah ini jelas menunjukkan slogan 'kerajaan Melayu-Islam' hanya candu politik sedangkan prinsip Islam yang mencegah rasuah tidak ditegakkan.

Kedudukan indeks rasuah ini pasti menjejaskan prestasi ekonomi negara yang masih gagal dipulihkan kerana ia menghakis keyakinan pelabur asing.

Kelembapan pelaburan asing akan menjejaskan ekonomi rakyat terutama dari sudut pekerjaan dan peluang perniagaan sektor perindustrian kecil dan sederhana (PKS).

Selagi pemerintah tidak ada kesungguhan politik untuk melawan rasuah, selagi itulah ekonomi negara tidak akan pulih dan selama itulah, rakyat akan terus sengsara dengan pelbagai tekanan seperti kenaikan harga barang dan defisit kuasa beli.


FAIZ FADZIL merupakan anggota dewan undangan negeri (Adun) Permatang Pasir, Pulau Pinang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS