Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis cari dua lelaki untuk bantu siasatan kes tetak

Polis sedang mengesan dua individu bagi membantu siasatan berhubung kes tetak dua beranak menggunakan parang di Taman Jimah Jaya Site C, Chuah, Port Dickson pada 16 Jan lepas.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata individu berkenaan ialah V Vithyathran, 32; yang beralamat di Taman Springhill, Rantau dan B Selvam, 21; dari Taman Jaya Lukut, Port Dickson.

Katanya polis menahan enam lelaki dalam lingkungan 17 hingga 25 tahun antara pukul 4.40 pagi 16 Jan hingga 9.30 malam 18 Jan lepas di sekitar Lukut dan Port Dickson kerana disyaki terlibat dengan kes itu.

Menurut Aidl Sham polis juga merampas dua motosikal dan sebilah parang yang disyaki digunakan untuk mencederakan mangsa.

“Semakan rekod lampau mendapati lima daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala hasil ujian saringan air kencing mendapati seorang positif ganja.

"Ketika kejadian mereka juga berada dalam keadaan pengaruh alkohol.

"Semua mereka direman selama lapan hari sehingga semalam. Arahan pertuduhan juga dikeluarkan terhadap dua daripada mereka dan seorang masih bebas manakala empat yang lain dijadikan sebagai saksi pendakwaan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Aidi Sham berkata kes disiasat di bawah Seksyen 326 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.43 pagi pada 16 Jan lepas, seorang lelaki berusia 46 tahun dan anak lelakinya, 16, dilaporkan cedera parah di bahagian badan dan tangan akibat diserang sekumpulan lelaki bermotosikal.

Aidi Sham berkata mereka juga merosakkan kenderaan milik keluarga mangsa dengan memecahkan cermin kereta dan tingkap sebelum melarikan diri.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS