Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak membenarkan jamuan makan bersama keluarga pada 31 Jan ini menjelang Tahun baru Cina yang akan disambut pada hari berikutnya (1 Feb).
JPBN mengumumkan kelonggaran berkenaan berikutan Sarawak kini berada di bawah Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menurut JPBN, acara makan keluarga itu bagaimanapun dihadkan untuk ahli keluarga pada kapasiti kehadiran 50 peratus mengikut saiz rumah atau berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan untuk restoran.
Aktiviti ziarah juga dibenarkan pada hari pertama dan kedua sahaja dalam kalangan ahli keluarga namun rumah terbuka anjuran individu, persatuan atau pertubuhan tidak dibenarkan, menurut JPBN.
“Upacara sembahyang di rumah ibadat dibenarkan dengan mematuhi SOP pembukaan rumah ibadat oleh Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR). Sambutan Chap Goh Mei (penghujung sambutan Tahun baru Cina) hanya dalam kalangan ahli keluarga terdekat sahaja,” menurut kenyataan itu.
Aktiviti tarian singa pula dibenarkan beroperasi mulai 1 hingga 4 Feb dari 6 pagi hingga 6 petang diikuti dari 6 pagi hingga 10 malam pada 15 Feb (Chap Goh Mei).
“Jumlah ahli pasukan yang terlibat hendaklah tidak melebihi 12 orang. Persembahan hanya dibenarkan di kawasan luar rumah, luar rumah ibadat dan luar premis sahaja serta tertakluk dengan permohonan daripada penganjur, pemilik dan tuan rumah,” katanya.
- Bernama