Semalam, timbul dakwaan mangsa banjir telah ditipu hadir ke suatu majlis yang menjadi program menyokong bekas perdana menteri Najib Razak yang berlangsung pada Sabtu lalu.
Ini meskipun pada awalnya mereka dikatakan berharap akan mendapat bantuan banjir apabila hadir ke program di WTC KL, Kuala Lumpur itu.
Namun, Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Taman Sri Muda Seksyen 25, Shah Alam N Sivakumar yang mengaku mengatur kehadiran mangsa banjir berkenaan menjelaskan terdapat kekeliruan yang telah berlaku antara NGO itu dan mangsa banjir.
Sivakumar mendakwa kekeliruan timbul apabila NGO lain yang menganjurkan program himpunan ‘Hentikan Penganiayaan Terhadap Datuk Seri Najib’ turut ada bersama dengan mangsa banjir di lokasi yang sama, di aras 4 WTC KL.
Mereka kemudian memberikan plakad kepada mangsa banjir yang disangka peserta himpunan itu, jelas Sivakumar lagi.
Sebaliknya, menurut Sivakumar tujuan rombongan mereka hadir ke program tersebut adalah untuk menyerahkan memorandum untuk menambah jumlah bantuan terhadap mangsa banjir kepada Persatuan Sahabat Ulul Amri sebagai ‘orang tengah’ dan melalui ahli parlimen Pekan kemudian akan dapat disampaikan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Persatuan Sahabat Ulul Amri merupakan penganjur majlis tersebut dan difahamkan bekas perdana menteri itu tidak hadir himpunan tersebut.
“Masa mereka (NGO lain) bagi plakad (edar kepada hadirin), mereka sudah bagi ke mangsa banjir juga sebab mereka NGO yang berlainan.
“Mereka tidak kenal mangsa banjir siapa, dan yang datang untuk agenda lain siapa,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Tambahnya, dia memanggil mangsa banjir supaya hadir ke program tersebut untuk membuktikan bahawa mereka benar-benar terjejas dengan banjir yang melanda di Taman Sri Muda pada bulan lalu dan tidak mendapat bantuan yang cukup.
“Masa kita masuk dalam WTC KL sudahpun ada kekeliruan. Kita menghantar memorandum kita melalui Persatuan Sahabat Ulul Amri.
“Kita minta Najib tingkatkan bantuan kepada mangsa banjir kepada (melalui) PM. Itu sahaja,” katanya.
Memorandum tersebut menekankan lima perkara utama iaitu menaik taraf kunci air dan air takungan, menaik taraf saliran air dan tebing tepi sungai perumahan Taman Sri Muda, bantuan kewangan dan bantuan pinjaman kepada penjaja dan peniaga kecil, meningkatkan bantuan kewangan untuk mangsa banjir dan menambah kemudahan pinjaman kewangan tanpa faedah.
Semalam, tular di media sosial bahawa mangsa banjir telah dimanipulasi untuk memberikan sokongan terhadap program himpunan ‘Hentikan Penganiayaan Terhadap DS Najib’.
Seorang pengguna Twitter mendakwa ada mangsa banjir yang hadir dijanjikan akan mendapat bantuan tetapi akhirnya perlu melaungkan slogan politik yang memihak kepada Najib.
Malah, dia turut membuat ciapan semula gambar dari program tersebut yang mempamerkan sekumpulan pihak termasuk golongan warga emas memegang plakad seperti, ‘Tangkap Zeti, bebas Najib,’ ’Stop prosecution of Najib,’ ‘We don’t want PRN, we want PRU.’
'Hanya serah memorandum'
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Sahabat Ulul Amri Syed Muhammad Imran SN Syed Abdul Aziz berkata kehadiran Sivakumar hanyalah untuk menyerahkan memorandum berkaitan bantuan banjir dan tiada sebarang wang yang disalurkan ketika majlis tersebut.
“Saya pun kalau ada apa-apa pemberian duit saya takkan terima sebab function saya isunya lain,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
“Permintaan dia (Sivakumar) hanya nak sampaikan memorandum tu. Apa yang mereka berhasrat - dalam memorandum itu jumlah dia besar dalam jutaan ringgit.
“Itu sebenarnya yang dia nak lakukan… Niat dia tu baik.
“Dia bukan nak bantu rakyat dengan (pemberian) barang-barang keperluan. Tidak. Tapi dia nak satu benda yang besar, yang memanfaatkan satu Sri Muda yang menjadi mangsa banjir,” katanya.
Menjelaskan lanjut mengenai program tersebut, Syed Imran mendakwa mangsa banjir yang hadir ketika itu sekitar 400 orang daripada jumlah keseluruhan yang hadir melebihi 4,000 orang di dalam PWTC.
Dakwanya lagi, lebih 50 NGO turut sama hadir pada program tersebut.
Ketika diminta mengulas mengenai dakwaan mangsa banjir ditipu untuk ke majlis tersebut dan tidak mendapat bantuan seperti yang diharapkan, Syed Imran melihat situasi berkenaan telah disalah tafsir oleh beberapa pihak.
“Sudah tentu dalam mana-mana program, mesti ada orang yang suka dan tidak suka pada kita.
"Dan saya mengambil pendekatan bahawa pengerusi persatuan yang cakap untuk mangsa banjir tu niat dia baik. Cuma disalah tafsir,” katanya.