Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peguam positif Covid-19, permohonan Rosmah agar hakim tarik diri ditangguh

Pendengaran permohonan Rosmah Mansor supaya hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai yang dihadapinya, ditangguhkan ke 3 Feb.

Penangguhan itu berikutan peguam utama yang mewakili isteri bekas perdana menteri itu disahkan positif Covid-19.

Mohamed Zaini menetapkan tarikh itu selepas peguam Azrul Zulkifli Stork, bertindak bagi pihak Rosmah memaklumkan kepada mahkamah bahawa peguam utama Rosmah, Geethan Ram Vincent telah disahkan positif Covid-19 pada 17 Jan lepas dan dia diarahkan menjalani kuarantin kendiri selama 10 hari sehingga 26 Jan ini.

Menurut Azrul, isteri kepada Najib Razak itu turut menjalani kuarantin sehingga 25 Jan kerana merupakan kontak rapat kepada peguam utamanya itu.

"Turut menjadi kontak rapat kepada Geethan ialah peguam bela Rosmah yang lain iaitu Firoz Hussein (Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin) yang sedang menjalani kuarantin kendiri di Kota Kinabalu, Sabah sehingga 25 Jan manakala peguam Reza Rahim dan PB Rajivan Nambiar dikuarantin sehingga 24 Jan.

"Oleh itu, saya memohon kes hari ini ditangguhkan ke 3 Feb ini," kata peguam itu pada prosiding hari ini.

Azrul berkata surat berhubung permohonan penangguhan kes berkenaan telah dihantar kepada mahkamah pada 20 Jan lepas.

Mengenai permohonan Rosmah untuk membatalkan kelayakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram daripada bertindak sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes pengubahan wang haram dihadapinya, Azrul berkata pihaknya akan memfailkan permohonan berkenaan esok.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn berkata pihaknya telah menerima surat daripada pembelaaan berhubung penangguhan kes, namun memaklumkan pendakwaan bersedia untuk meneruskan prosiding hari ini.

"Bagaimanapun, ia bergantung kepada budi bicara mahkamah untuk membuat keputusan," katanya.

Ini adalah kali kedua Rosmah memfailkan permohonan supaya Mohamed Zaini menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes pengubahan wang haram (Amla), selepas hakim itu yang turut mendengar kes rasuahnya berkaitan projek solar hibrid, telah menolak permohonan Rosmah pada 14 Dis.

Rosmah menfailkan permohonan pertama atas alasan untuk mengelakkan sebarang kemungkinan berat sebelah berlaku sekiranya Mohamed Zaini mendengar dan memutuskan kes pengubahan wang haram dihadapinya kerana hakim sama turut mendengar kes solar dihadapi isteri bekas perdana menteri itu.

Dalam permohonan kedua, Rosmah antara lain mendakwa tindakan pihak pendakwaan untuk membawa masuk percakapan beramaran kes pengubahan wang haramnya di dalam perbicaraan kes solar semestinya akan mempengaruhi Mohamed Zaini apabila dia mendengar perbicaraan kes Amla.

Rosmah juga merayu terhadap keputusan Mohamed Zaini yang menolak permohonan pertamanya dan rayuan berkenaan ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan pada 23 Mac ini.

Rosmah, 70, berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di Kuala Lumpur, antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di Kuala Lumpur dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS