Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pembantu Sivarasa didakwa bawah Akta SPRM
Diterbitkan:  Jan 24, 2022 3:20 PM
Dikemaskini: 7:32 AM

Seorang pembantu dan bekas kakitangan ahli parlimen Sungai Buloh R Sivarasa hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan rasuah.

Pengurus pusat perkhidmatan Sivarasa, KR Naveen, 50 dan bekas kakitangannya, Nico Kam Joo Hoe, 24, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah, menurut Kosmo.

Dalam pertuduhan pertama, mereka didakwa meminta RM55,000 daripada warga Bangladesh, Mono Miah Siddikur Rahman kerana tidak melaporkan firmanya membawa masuk pekerja asing secara haram ke Jabatan Imigresen.

Dalam pertuduhan kedua, mereka didakwa bersetuju menerima RM45,000 kerana tidak melaporkan firma itu - Syarikat Dyna Maintenance Services Sdn Bhd.

Dalam pertuduhan ketiga, mereka didakwa menerima RM20,000 kerana tidak melaporkan perkara itu.

Insiden itu didakwa berlaku antara 17 hingga 21 Sept 2017 di dua restoran di Taman Maluri, Cheras.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2099.

Mereka berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda daripada jumlah suapan yang didakwa diterima.

Mereka berdua dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000. Naveen juga merupakan anak saudara kepada Sivarasa.

Kedua-duanya telah ditangkap oleh SPRM pada September 2017 tetapi tiada pertuduhan dikenakan terhadap mereka pada masa itu.

Sejurus selepas penahanan pada September 2017, Sivarasa berkata dia telah menganjurkan sidang media pada 9 Ogos 2017 dengan pemberi maklumat untuk menyorot dakwaan salah laku membabitkan firma yang didakwa menggunakan dokumen palsu.

Tambah Sivarasa, dia juga telah melaporkan perkara itu kepada Jabatan Imigresen dalam surat pada 24 Ogos 2017 dan meminta pertemuan.

Justeru, dia berkata tiada sebab anak saudaranya menuntut bayaran bagi menyembunyikan maklumat yang telah didedahkan kepada umum.

Tiada perkembangan lanjut berhubung perkara itu sehingga semalam Sivarasa mendedahkan anak saudaranya akan didakwa.

Ahli parlimen PKR itu semalam mempersoalkan kenapa pertuduhan itu dibangkitkan selepas dia menyorot pemilikan saham ketua pesuruhjaya SPRM Azam Baki di Parlimen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS