Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Lebih ramai bekas pemimpin DAP P Pinang dijangka sertai Warisan'

Lebih ramai bekas pemimpin DAP Pulau Pinang dijangka menyertai Warisan susulan penyertaan tiga bekas pemimpin DAP dalam parti yang berpangkalan di Sabah itu.

Koordinator Warisan Pulau Pinang yang baru dilantik, Jeff Ooi berkata penyertaannya dan bekas Adun Batu Lanchang Danny Law Heng Kiang dilihat sebagai perintis kepada lebih ramai lagi bekas pemimpin DAP untuk mengikut jejak mereka.

“Tetapi tumpuan kita bukan setakat untuk menerima bekas ahli DAP kerana Warisan Pulau Pinang mahu merentas semua pelusuk landskap politik dan melihat penyertaan daripada tokoh korporat dan golongan profesional muda.

“Syarat daripada pucuk pimpinan adalah untuk melihat tidak kurang 50 peratus keahlian dan sokongan daripada golongan profesional muda,” katanya dalam sidang media di George Town hari ini.

Ooi yang juga bekas ahli parlimen Jelutong hari ini turut mengumumkan kemasukan seorang lagi bekas pemimpin DAP iaitu Martin Lim, 53, dalam Warisan Pulau Pinang

Lim menyertai DAP pada 2009 dan pernah memegang jawatan sebagai Ketua Kakitangan Ibu Pejabat DAP Pulau Pinang manakala Law yang mengumumkan keluar parti itu pada 18 Jan lepas setelah menyertainya selama 35 tahun pernah menjadi Adun Batu Lanchang.

Ditanya mengapa dia memilih Wariasan, Ooi berkata dia tertarik dengan konsep parti berbilang kaum dan agama, inklusif dan progresif yang diterapkan ke dalam parti tersebut.

Berkenaan hala tuju parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak, Ooi berkata Warisan Pulau Pinang akan berusaha keras untuk mencapai matlamat menubuhkan sebuah kerajaan pusat dengan Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal memainkan peranan penting dan kritikal.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS