Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'PM perlu pastikan SPRM tak diguna balas dendam skandal Azam'
Diterbitkan:  Jan 24, 2022 9:24 AM
Dikemaskini: 1:24 AM

Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang mengkritik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang disifatkannya berdendam terhadap Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa.

“SPRM yang pendendam dan busuk hati - seperti yang didedahkan oleh Ahli Parlimen PKR Sungai Buloh, R Sivarasa - benar-benar menjengkelkan dan tidak boleh diterima dan Perdana Menteri Ismail Sabri (Yaakob) mesti menghalang SPRM daripada memulakan misi balas dendam terhadap Sivarasa kerana bersuara di parlimen berhubung skanal Azam Baki,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Ini berlaku selepas Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa mendakwa SPRM mengambil tindakan balas terhadap pusat khidmatnya selepas dia membangkitkan isu pemilikan saham ketua pesuruhjaya SPRM Azam Baki di Dewan Rakyat.

Sivarasa mendedahkan pengurus pusat khidmatnya KR Naveen, yang juga anak saudaranya, telah dipanggil SPRM pada Jumaat lalu (21 Jan) dan dimaklumkan akan didakwa atas kesalahan rasuah berhubung satu kejadian empat tahun lalu.

Ahli parlimen PKR itu menegaskan bahawa dakwaan itu adalah palsu, berniat jahat dan tanpa asas - menganggap ia sebagai "dendam peribadi".

Dalam kenyataan sama, Lim mencadangkan ahli parlimen Sungai Buloh itu perlu membuat laporan kepada jawatankuasa hak dan keistimewaan parlimen berhubung perkara itu.

“Mengapa kes itu dibangkitkan semula selepas empat tahun setengah?

"Ismail Sabri harus memastikan SPRM tidak digunakan untuk melakukan 'dendam peribadi' terhadap Sivarasa kerana membangkitkan isu pemilikan saham Azam Baki di parlimen pada 4 Dis 2021.

"Saya mencadangkan agar Sivarasa membuat laporan kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen berhubung "dendam peribadi" SPRM terhadapnya kerana membangkitkan isu pegangan saham Azam Baki di Parlimen terhadap SPRM kerana ia merupakan pelanggaran Akta Kuasa dan Keistimewaan Parlimen 1952 di mana pesalah boleh dipenjarakan oleh Parlimen jika seseorang yang bersalah menghina Parlimen gagal membersihkan dirinya daripada penghinaan itu," katanya.

Sebelum ini, Sivarasa telah memfailkan usul tergempar meminta Dewan Rakyat membincangkan dakwaan pemilikan hampir dua juta saham Azam dalam sebuah syarikat tersenarai awam.

Sivarasa mendakwa bahawa antara 2015 dan 2016, semasa Azam menjadi pengarah siasatan SPRM, dia telah menjadi pemilik 930,000 saham dalam Gets Global Bhd pada 30 April 2015, dan 1,029,000 saham lagi setakat 31 Mac 2016.

Ahli Parlimen itu juga mendakwa, sehingga 21 Mac 2016, Azam juga memiliki 2,156,000 waran dalam Excel Force MSC Bhd, manakala adiknya memiliki 3,728,000 saham dalam Gets Global.

Sivarasa berkata penjawat awam dilarang memiliki lebih daripada RM100,000 saham dalam mana-mana syarikat.

Penjawat awam juga dikehendaki mengisytiharkan semua harta mereka kepada ketua jabatan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS