Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis akan soal siasat pemimpin Pemuda PH isu acara anti-Azam

Dua belas individu termasuk pemimpin Pemuda Pakatan Harapan (PH) dipanggil untuk disoal siasat oleh polis berhubung acara berkaitan protes terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki yang berlangsung semalam.

Peguam Kamil Munim berkata kesemua dua belas individu itu akan hadir di balai polis daerah Brickfields pada pukul 2 petang esok bagi disoal siasat berhubung acara 'Pentas Anak Muda' yang diadakan di Restoran Pak Amjal di Kuala Lumpur pada Jumaat malam.

"Saya akan berada di sana esok pada pukul 2 petang untuk mewakili (aktivis) Adam Adli, bersama peguam yang bertindak bagi pihak lain yang dipanggil," kata Kamil kepada Malaysiakini.

Kamil berkata dia hadir di restoran itu pada malam Jumaat apabila polis, selepas acara itu, merekodkan maklumat peribadi daripada penceramah dan mereka yang hadir.

“Saya mendapat panggilan daripada IPD Brickfields dan diminta memaklumkan kepada 12 individu berkenaan bahawa mereka telah dipanggil,” katanya.

Selain Adam yang sebelum ini disoal siasat berhubung maklumat yang dikongsikan mengenai perhimpunan 'Tangkap Azam Baki', 11 yang lain termasuk pemimpin Pemuda Amanah, DAP, PKR dan Muda.

Sementara itu, The Star melaporkan Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim sebagai berkata penganjur perhimpunan #TangkapAzamBaki semalam akan dikenal pasti untuk direkodkan keterangan mereka.

Polis sebelum ini berkata 16 individu termasuk lima ahli politik telah dipanggil berhubung perhimpunan itu tetapi tiada penganjur dikenal pasti kerana tiada notis rasmi dikemukakan seperti yang dikehendaki di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Protes yang dipindahkan ke Bangsar dari Sogo selepas penutupan enam jalan utama dan sejumlah stesen tren di Kuala Lumpur menyaksikan kira-kira 200 orang daripada kumpulan masyarakat sivil dan parti politik berhimpun selama sejam berarak dan duduk sebentar, menuntut tindakan terhadap Azam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS