Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Terpulang pada Umno Kelantan mahu putuskan hubungan dengan PAS'

Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob menyerahkan kepada budi bicara Badan Perhubungan Umno Kelantan untuk memutuskan hubungan dengan PAS.

Ismail juga menegaskan bahawa keputusan itu tidak ada kaitan dengan pertemuan antara dia dan barisan pimpinan Umno negeri.

Ismail Sabri yang juga perdana menteri berkata, badan perhubungan Umno negeri-negeri diberi kuasa untuk membuat keputusan berhubung kerjasama membabitkan parti itu dengan PAS.

“Tak ada kaitan dengan (perjumpaan) saya (dan pimpinan negeri). Saya pergi perjumpaan itu beramai-ramai dengan semua kepimpinan semua bahagian dan cadangan tentang (keputusan) Kelantan itu sudah disuarakan waktu mesyuarat MT (Majlis Tertinggi).

“Umno Kelantan sudah memberikan gambaran apa keputusan dia. Cuma kita kata, kita serahkan kepada Umno Kelantan untuk menentukan, Umno Kelantan yang perlu menentukan masa depan politik di Kelantan.

"Kita serahkan kepada kebijaksanaan mereka untuk membuat keputusan asalkan tidak merugikan Umno dan kalau mereka merasakan itu yang terbaik untuk kekuatan Umno di Kelantan, kita kata ‘go ahead’, terserah kepada mereka,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan bersama petugas Kemas Bera di Pejabat Kemas Bera, hari ini.

Semalam, Umno Kelantan membuat keputusan untuk tidak lagi bersama dengan PAS negeri menerusi Muafakat Nasional (MN), berkuat kuasa serta-merta.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Ahmad Jazlan Yaakub, berkata keputusan itu berikutan PAS Kelantan masih menjalin kerjasama dengan Bersatu dan memilih parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ahmad Jazlan berkata, keputusan itu dicapai menerusi kata sepakat daripada ahli Umno negeri selepas mengadakan mesyuarat khas dengan Pas Kelantan di kediaman rasmi Menteri Besar, Ahmad Yaakob.

Bagaimanapun, Ahmad melalui hantaran di laman sosial Facebook miliknya semalam menegaskan kerjasama antara parti itu dengan Umno di negeri ini masih lagi kekal sehingga PRU-15.

Sementara itu, mengulas mengenai kemungkinan berlaku pilihan raya negeri (PRN) di Kedah dan Perak selepas Johor, Ismail Sabri berkata, keputusan untuk membuat PRN terletak kepada negeri berkenaan.

“Itu bukan di bawah kawalan pusat, (kerajaan) negeri, menteri besar setelah berunding dengan Sultan negeri masing-masing, atau Yang Dipertua negeri masing-masing,” katanya.

Berkaitan PRN Johor pula, dia berkata, setakat ini Umno masih belum membuat keputusan untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti memandangkan keputusan pembubaran dewan undangan negeri (DUN) baru dibuat semalam.

“Kita pun, baru semalam dan petang ini baru nak umum, selepas itu kita akan dapat laporan daripada Umno Johor dan Umno Johor pun akan memberikan pandangan mereka, kita pun tak tahu lagi,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS