Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB: K'jaan perlu mandat baru, bukan bergerak atas ihsan pembangkang
Diterbitkan:  Jan 22, 2022 7:04 PM
Dikemaskini: 11:05 AM

Kerajaan yang memimpin Johor perlu mendapat mandat lebih kukuh dan bukannya atas ihsan pembangkang, kata menteri besar Hasni Mohammad mempertahankan keputusan untuk memohon pembubaran DUN, hari ini.

Hasni berkata, dengan kelebihan satu kerusi sahaja, tiada pihak yang boleh menafikan bahawa kerajaan negeri dalam keadaan tidak stabil.

"Saya beranggapan kerajaan yang ada perlu jadikan Johor sebagai negeri yang rancak program untuk rakyat.

"Semua ini perlu diteruskan, tetapi kedudukan kerajaan bergerak atas ehsan pembangkang (dan) saya rasa ini tidak wajar berlaku.

"Saya ingin melihat Johor menjadi negeri maju, rancak pembangunannya, justeru itu saya perlukan mandat baru. Saya perlu dapat semula mandat daripada rakyat Johor," katanya dalam sidang media di Johor Bahru, petang tadi.

Ia selepas Hasni dan menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene di Johor Bahru, petang tadi.

Kerajaan Johor pimpinan BN berdiri dengan majoriti tipis selepas kematian Adun Kempas, Allahyarham Osman Sapian pada 21 Disember lalu.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan untuk membubarkan DUN Johor, sekaligus membuka laluan untuk PRN diadakan.

"Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor untuk memberi laluan kepada PRN," menurut kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim.

Mengulas lanjut, Hasni mendakwa meskipun pembangkang berjanji untuk melancarkan urusan pentadbiran negeri, namun ia tidak sepenuhnya berlaku.

"Saya anggap itu sebagai janji manis. Misalnya, sewaktu DUN bersidang baru-baru ini pun kita berdepan dengan rundingan untuk membenarkan wakil pembangkang untuk hadir dalam mesyuarat tindakan majlis daerah.

"Berulang kali saya terangkan kepada wakil pembangkang itu bukan keputusan kerajaan negeri, kita hanya tertakluk kepada arahan Pejabat Perdana Menteri mengenai komposisi untuk hadir dalam mesyuarat tindakan majlis daerah," katanya.

Dia juga membangkitkan Speaker DUN Suhaizan Kaiat yang merupakan Adun Amanah.

"Speaker DUN bukan daripada parti kerajaan. Mungkin Speaker atas ihsan untuk pastikan kerajaan berjalan, undi penentu diberikan kepada kerajaan.

"Itu saya kata kita bergerak atas ihsan. Dengan satu majoriti, tidak siapa boleh nafikan kerajaan negeri berada dalam situasi tidak stabil," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS