Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Seramai 22 individu ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu operasi berkaitan dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) bawah Kementerian Perpaduan Negara diadakan di tujuh negeri pada Khamis ini.

Satu sumber yang menamakan operasi terbaru itu sebagai Ops Mitra 2.0 berkata antara yang ditahan ialah pengerusi, pengarah, setiausaha syarikat di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Johor, Perak, Negeri Sembilan dan Kedah.

"Sekurang-kurangnya dua individu berhubung dengan sebuah pertubuhan berkaitan agama turut ditahan.

"Daripada 22 ditahan, 16 dibebas jamin oleh SPRM selepas selesai proses soal siasat. Sementara enam direman antara empat hingga enam hari," katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan operasi tersebut.

"Memang ada (tangkapan).Saya dapatkan butiran (dalam masa terdekat)," katanya.

Difahamkan, Ops Mitra 2.0 ini menumpukan syarikat-syarikat dan pertubuhan yang menerima dana antara RM1 juta hingga RM9 juta.

Isu dana Mitra menjadi hangat susulan penahanan beberapa pengarah syarikat yang disyaki terlibat dengan penyelewengan geran peruntukan dikeluarkan Mitra.

Sebanyak 337 syarikat, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) dikenal pasti telah diluluskan geran peruntukan oleh Mitra sejak 2019 hingga 2021 dengan peruntukan berjumlah kira-kira RM203 juta.

Pada 22 Nov 2021, SPRM berkata mereka hampir selesai melengkapkan kertas siasatan melibatkan sepuluh syarikat yang menerima geran peruntukan Mitra.

Azam Baki sebelum ini berkata kertas siasatan itu akan dikemukakan kepada timbalan pendakwa raya dalam masa terdekat untuk pertuduhan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS