Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP gesa polis mudahkan himpunan #TangkapAzamBaki
Diterbitkan:  Jan 21, 2022 9:55 PM
Dikemaskini: 1:55 PM

Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah menggesa pihak berkuasa untuk memudahkan dan bukannya menyekat protes terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki di Kuala Lumpur yang direncana esok.

Bekas pengerusi Bersih itu yang pernah mengetuai beberapa perhimpunan besar pada masa lalu berkata kerajaan dan polis harus belajar untuk tidak menjejaskan operasi ibu kota dengan pengumuman mengenai penutupan perkhidmatan jalan raya dan stesen kereta api.

“Negara telah mengetahui bahawa pembungkaman tidak akan melenyapkan kehendak rakyat kerana mereka mempunyai hak untuk menyatakan rasa tidak puas hati mereka.

"Jika Covid-19 yang ditakuti pihak berkuasa maka mereka boleh membantu memudahkan protes kerana itu peranan mereka dan bukan menjadi penghalang," kata Maria dalam satu kenyataan.

“Saya sangat menggesa pihak berkuasa yang mendakwa menyokong pembaharuan untuk membenarkan rakyat berhimpun.

"... Mudahkan kerana anda mempunyai lebih seribu anggota polis," katanya.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya awal hari ini berkata 1,010 anggota akan dikerahkan untuk protes #TangkapAzamBaki yang digerakkan oleh kumpulan masyarakat sivil esok.

Seterusnya, Noor Dellhan turut mengumumkan penutupan enam jalan utama di sekitar pusat bandar dan penggantungan sementara operasi bagi 24 stesen terpilih di semua laluan rel - laluan LRT Ampang-Sri Petaling, LRT Kelana Jaya, MRT Sungai Buloh, monorel dan KTM. .

Protes itu digerakkan ekoran skandal pemilikan saham yang membabitkan ketua pesuruhjaya SPRM.

Azam menjadi tumpuan baru-baru ini selepas timbul dakwaan dia memiliki saham dalam dua syarikat pada 2015.

Menurut laporan tahunan 2015 Excel Force Bhd, Azam memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu pada 21 Mac 2016. Pada masa itu, Azam adalah ketua bahagian siasatan SPRM.

Bagaimanapun, dalam sidang media pada 5 Jan lepas, Azam berkata dia tidak melakukan apa-apa kesalahan kerana saham itu dibeli adiknya yang hanya menggunakan akaunnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS