Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PULASAN | "Begitu yakin suara Usup membawa keputusan tentang hari depan Karim. Mestikah begitu selamanya? Orang jahat mesti masuk jel dan terus jahat?"

Ketika Keris Mas mengolah cerita Anak Titiwangsa berpuluh-puluh tahun silam, kemungkinan 'pembalasan' untuk remaja nakal yang sering kedengaran hanyalah diikat ke pokok yang banyak kerengga.

Memang menyeksakan hukuman itu. Selain rasa sakit digigit, bau busuk daripada cecair serangga itu saja sudah cukup azab.

Kini kita semakin melangkah jauh. Dan entah sudah berapa kali terlanjur. Kisah remaja yang dipercayai mencuri dana masjid dan dimandikan sebagai mayat itu adalah salah satu episod betapa kalut dan serabutnya kita.

Ini bukanlah mahu membela sesiapa. Pak Imam itu ada sebabnya untuk berasa marah. Orang yang merakam aksi hukuman di dalam bekas memandikan jenazah itu juga ada sebab untuk berbuat demikian.

Selamanya mungkin kita ini akan terus menganggap apa saja yang berkait dengan masjid mestilah sakral dan akan ke syurga. Sebarang kesalahan walaupun kecil menjadi dosa yang tidak terampun. Justeru kadang-kadang kisah-kisah dongeng yang keluar dari mulut 'tuan guru' atau 'ustaz' itu mesti diketap dengan gigi geraham paling ampuh.

Suka atau tidak, itu adalah kejayaan daripada doktrin yang asalnya berniat baik namun pada pertengahan jalannya digelincirkan oleh rasa asyik, kagum dan sedap yang dicetuskan oleh nafsu.

Cuma cakap-cakap beremosi

Lalu kita pun dipaksa untuk menaganggukkan kepala saja atas setiap kata-kata yang keluar daripada 'orang masjid' sehinggakan perbuatan bertanya akan rasional atau dalil saja akan dianggap sebagai dosa amat besar.

Dalam setiap kejadian, pasti ada sisi yang lain daripada apa yang kita lihat sekali imbas. Masalahnya ialah, kita ini bangsa yang sangat cepat melatah. Malah ia pula bukan calang-calang punya latah.

Ketika belum lagi kita tahu duduk perkara sepenuhnya, kita akan terus menghukum.

Mencuri itu salah. Mencuri dari hak masjid juga sudah tentu salah. Tetapi berapa ramai daripada kita mahu menyelami apa yang dialami oleh si pencuri itu. Maklumat itu tidak akan diperolehi daripada sekadar cakap-cakap beremosi.

Seperti yang dikatakan tadi, setiap kejadian akan ada banyak sisi untuk difahami. Setiap cerita akan ada banyak kemungkinan. Tapi itulah. Kita ini bangsa yang cepat melompat dan melondehkan pakaian yang menutup kemaluan.

Jika tidak, tidaklah kisah kematian tragis Allahyarham Mohd Adib Muhammad Kassim itu masih menjadi 'misteri' yang gagal dileraikan simpulannya. Agaknya masih adakah yang teringat kepada Adib yang malang itu. Dan berapa ramai yang masih ingat akan janji-janji mereka - yang ketika itu belum berkuasa - kepada keluarga arwah?

Di sebalik pelbagai kisah yang menyesakkan dada ini, ramai yang terlupa bahawa ia berpunca daripada kegagalan sistem yang sedang memandu negara ini. Ketika nasib rakyat kebanyakan wajib dibela, diperhatikan dan disantuni, orang yang sepatutnya menjalankan tugas tersebut lebih sibuk memikirkan undi, pilihan raya, mengekalkan jawatan, berhelah untuk berkuasa dan seumpamanya.

Kerana itu tidak salah untuk menganggap mereka sebagai sampah. Jika berpolitik, maka politik mereka ialah politik sampah. Anggapan sebegitu sebenarnya tidak memadai - atau masih amat lunak - untuk menjeniskan orang politik sekotor yang sedang kita hadapi sekarang.

Lapar mencipta citra sendiri

Ada sesiapa yang pernah menyelami hati remaja yang mencuri itu? Jika benar dia berkali-kali mencuri, adakah kerana terdesak, ketagihan, atau - yang ini rasanya jarang difikirkan - disebabkan oleh cara dia melihat dunia.

Andainya - dan ini sekadar andaian, ya - dia seorang autistik yang tidak disedari, bagaimana? Pernah melihat, memahami dan membesarkan anak autistik?

Itu adalah satu daripada banyak faktor yang perlu diperhalusi bagi setiap kebejatan seseorang. Selain itu ada ribuan lagi kemungkinan yang perlu difikirkan. Sudah tentu ia tugas yang sukar dan memerlukan sumber yang banyak.

Masalahnya sumber itu kini digunakan hampir sepenuhnya untuk berfikir tentang kuasa, undi, pilihan raya, mencipta citra agar dikagumi orang ramai dan mencari jalan memangkas jawatan orang itu dan orang ini.

Di satu sisi lain pula ialah pelbagai kelompok manusia yang malas menggunakan otak masing-masing untuk berfikir sedikit jauh daripada menjadi tukang angguk, tukang ampu dan tukang sorak. Satu sen pun tak ada gunanya.

Kalau ayam yang menanti dedak pun lebih banyak faedahnya daripada mereka.

Ketika dunia seluruhnya menjadi semakin laju, kejam dan keras, kita pula semakin tumpul dan buta melihat sekeliling. Kadang-kadang ia bahkan dibutakan oleh habuan yang sangat murah. Lalu mereka gigih untuk menghasut orang lain agar sama-sama menjadi buta.

Bacalah komen yang bersepah-sepah di media sosial yang ada. Di sana kita akan dapat melihat bagaimana tahap pemikiran sebuah bangsa yang perasan mereka terlalu istimewa hanya kerana cerita-cerita dongeng yang sesetengahnya dilabunkan melalui pembesar suara di masjid serta surau.

Untuk berlaku adil, kita perlu akui bahawa bukanlah tidak ada sebarang usaha dibuat untuk mencelikkan bangsa yang cepat melatah ini. Ada. Sesetengahnya berjaya, tapi yang banyaknya, gagal.

Ia berpunca daripada perlawanan gigih kelompok yang gembira dengan ketumpulan akal masing-masing. Kemudian disokong pula gerombolan pemuja 'sampah' yang bertaburan di mana-mana. Mereka pun sebenarnya sejenis sampah juga.

"Saya tidak menjawab. Fikiran saya pun sedang kusut juga. Hati saya mengatakan dan mengharapkan supaya Karim tidak akan terus jahat. Tetapi bagaimana?

"Memang selalunya orang jahat susah nak jadi baik. Di kampung kami belum ada orang jahat yang betul-betul jahat hingga menjadi musuh orang ramai. Tetapi di Kuala Lumpur banyak."

Demikian sedikit lagi petikan novel Anak Titiwangsa oleh Keris Mas. Sudah berpuluh tahun dia menghasilkan kisah Sudin yang mencari kawannya, Karim, yang 'dihukum' jahat oleh banyak orang.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang asyik dengan novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur tulisan Keris Mas.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS