Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes mayat remaja 19 tahun: Tiada saksi tampil, polis guna CCTV
Diterbitkan:  Jan 20, 2022 9:00 PM
Dikemaskini: 9:46 AM

Polis menggunakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi menyelesaikan siasatan kes langgar lari seorang remaja 19 tahun di SS14, Subang Jaya, Selangor, minggu lepas.

Langkah itu diambil memandangkan tiada saksi yang tampil membantu siasatan, di sebalik rayuan keluarga dan gesaan polis.

“Setakat ini kita tiada apa-apa perkembangan lain dan cumanya kita tengah kumpul rakaman CCTV sahaja.

“Saya bersama pegawai-pegawai lain juga sudah tengok dan mendapati tiada perkembangan baru”, kata sumber polis kepada Malaysiakini hari ini.

Polis dan keluarga mangsa sebelum ini memohon bantuan orang ramai tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan terhadap penemuan mayat itu memandangkan tiada petunjuk mengenai kematiannya.

Ketua Polis Subang Jaya ACP Abd Khalid Othman pada 14 Januari berkata berdasarkan makluman, mayat mendiang terbaring di hadapan kedai dengan lengkap berpakaian pada jam kira-kira 11 malam.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa luka di bahagian belakang kepala dan terdapat kesan geseran di belakang badan.

Bedah siasat oleh Hospital Shah Alam mendapati kematian berlaku akibat trauma tumpul di bahagian kepala yang konsisten dengan kemalangan jalan raya.

Sementara itu, sumber polis hari ini memberitahu bahawa kes diklasifikasikan sebagai langgar lari setelah mendapat laporan bahagian patologi Hospital Shah Alam.

Bagaimanapun, katanya, tiada apa-apa perkembangan baru tentang kes kematian dan ia masih dalam fasa pengumpulan bukti.

Katanya, spekulasi bahawa mangsa dilanggar di lokasi lain dan diletakkan di lokasi berbeza juga masih satu tanggapan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS