Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wisma Persekutuan di Kuantan janji baiki segera kerosakan lif
Diterbitkan:  Jan 20, 2022 8:18 PM
Dikemaskini: 12:18 PM

Pihak pengurusan Wisma Persekutuan di Kuantan sudah meminta maaf dan berjanji untuk menyelesaikan isu kerosakan lif di situ secepat mungkin, kata Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang, Johari Alwi.

Katanya wakil pihak pengurusan terbabit hadir sendiri ke pejabat Jakoa Pahang untuk memberi penjelasan mengenai kesulitan yang dihadapi oleh kakitangan kerajaan dan orang ramai yang berurusan di situ.

"Jakoa Pahang sentiasa memastikan persekitaran kerja adalah kondusif dan mesra golongan istimewa selain memberi galakan dan kerjasama kepada rakan sekerja yang memerlukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu tular klip video menunjukkan salah seorang kakitangan Jakoa Pahang - yang mengalami kecacatan fizikal - terpaksa bersusah payah menggunakan tangga dari tingkat atas apabila lif di situ tidak boleh digunakan.

Ia turut memaparkan ada seorang lelaki lain yang membantu untuk membawa kerusi roda kakitangan terbabit sambil mengiringinya menuruni anak-anak tangga.

Kata Johari lelaki itu kakitangan Jakoa Pahang bernama Husny Hussain, 55, yang pernah mewakili negara dalam kejohanan boling padang.

Perlu kos yang tinggi

Menurut Johari klip video berkenaan tular bukan bertujuan untuk meraih simpati orang ramai semata-mata, sebaliknya menunjukkan sokongan daripada rakan sekejar yang membantunya.

"Kakitangan istimewa ini seorang yang cekal mengharungi apa jua cabaran demi melaksanakn tugas mulia kepada masyarakat Orang Asli.

"Dia lebih selesa berdikari menuruni tangga sendiri kerana berasa sakit jika didukung atau dipapah rakan sekerja," katanya.

Sim (kiri) melihat keadaan lif yang rosak

Sementara itu Adun Teruntum, Sim Chon Siang, berkata dua daripada empat lif di Wisma Persekutuan itu menjalani proses penyelenggaraan ketika video tersebut dirakam.

Katanya dua lif yang rosak itu - sudah berusia 25 tahun - akan diganti baru menjelang Mei ini.

"Lif rosak sejak Nov 2021. Daripada empat lif hanya dua yang berfungsi.

"Lif nombor satu dan dua sedang dinaik taraf manakala nombor tiga dan empat akan diganti dengan yang baru Mei tahun ini.

"Masalahnya lif nombor tiga rosak disebabkan air hujan masuk melalui tingkap dan mengalir sehingga merosakkan sebahagian daripada peralatan yang ada pada 17 Dis tahun lalu.

"Sekiranya nak dibaiki ia memerlukan kos yang tinggi dan tidak berbaloi kerana lif tersebut hanya perlu digunakan untuk tiga atau empat bulan saja lagi sebelum diganti dengan yang baru," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS