Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pengguna jalan raya mesti diberi pilihan untuk pembayaran tol sama ada mahu menggunakan sistem Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), Touch 'n Go (TnG) atau SmartTAG.
Beliau berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet semalam yang berpendapat pengguna mesti diberi pilihan seperti sewaktu TnG diperkenalkan di peringkat awal dengan pembayaran secara tunai masih diteruskan.
"Pengguna mesti diberi kebebasan sama ada nak guna RFID, Touch 'n Go atau SmartTAG," beliau berkata demikian kepada media ketika ditanya mengenai perkembangan pelaksanaan RFID selepas melancarkan program Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia di Putrajaya malam semalam.
Ismail Sabri berkata RFID diperkenalkan untuk mempercepatkan perjalanan merupakan cadangan yang bagus tetapi pengguna juga mesti diberi pilihan memandangkan RFID adalah projek rintis dan ia akan mengambil masa untuk disesuaikan.
Terserah kepada pengguna untuk membuat pilihan dan kalau RFID memudahkan perjalanan mereka, pengguna lebuh raya boleh berhijrah kepada sistem RFID, katanya.
Ismail Sabri berkata pemegang konsesi lebuh raya perlu mengekalkan lorong untuk pengguna TnG dan SmartTAG.
"Jangan semua RFID lah. Kalau ada 10 lorong, mungkin beberapa lorong untuk RFID and the rest (dan selebihnya) masih lagi untuk TnG dan SmartTAG. Kita tidak mahu ada tekanan kepada pengguna jalan raya," katanya.
Ditanya sama ada pemegang konsesi lebuh raya telah dimaklumkan mengenai keputusan Kabinet itu, Ismail Sabri berkata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof akan memanggil pemegang konsesi untuk berbincang dan membuat keputusan lanjut.
Ismail Sabri juga berkata mesyuarat Kabinet itu juga memutuskan apa sahaja perkara melibatkan bayaran oleh rakyat perlu dirujuk kepada Kabinet.
Media dan netizen melaporkan keadaan di beberapa plaza tol di Lembah Klang terutamanya pada Isnin lepas yang mengalami kesesakan didakwa akibat kegagalan RFID berfungsi.
Transaksi tol menggunakan teknologi RFID untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula 15 Jan lepas.
Sistem RFID membolehkan pengguna menikmati perjalanan lebih lancar tanpa perlu berhenti dan bergerak di lorong RFID dengan kelajuan 30 km/j serta melaksanakan transaksi tol tanpa sentuh.
RFID juga menawarkan sekuriti tunai digital dan tambah nilai tanpa tunai melalui penggunaan e-dompet Touch ‘n Go tanpa perlu lagi mengunjungi kaunter tambah nilai.
- Bernama