Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sanusi: Pemimpin PAS 'pandai-pandai' menulis di Facebook tak dialukan
Diterbitkan:  Jan 19, 2022 9:50 PM
Dikemaskini: 1:50 PM

Muhammad Sanusi Md Nor membidas individu dalam parti mereka yang menurutnya "pandai-pandai" menulis mengenai pemecatan Khairuddin Aman Razali sebagai anggota jawatankuasa (AJK) PAS Pusat.

Kenyataan itu hadir selepas Ahli Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menerusi laman Facebooknya sebelum ini berpandangan, isu tersebut perlu dijelaskan kepada umum dan tidak terhad kepada ahli PAS semata-mata.

“Saya berpegang kepada satu frasa iaitu pandai dialu-alukan, ‘pandai-pandai’ tak dialu-alukan. Tindakan menulis di Facebook ini pun dikira sebagai ‘pandai-pandai’ juga dan tak dialu-alukan.

“Perjalanan dalam PAS ini ada perlembagaan dan kita juga ada usrah, tarbiah serta bermacam-macam program bagi mendidik pemimpin agar pemimpin ini dapat pula mendidik ahli. Kalau ahli kita suruh guna saluran betul, pemimpin pun sama jugalah.

“Janganlah tulis di Facebook. Walaupun kita pandai menulis, tetapi ‘pandai-pandai’ menulis tidak dialu-alukan,” kata Muhammad Sanusi seperti dilapor Utusan Online.

Muhammad Sanusi dan Nik Abduh masing-masing merupakan AJK PAS Pusat.

Pemimpin PAS dilihat berselisih pandangan berhubung pemecatan Khairuddin.

Khairuddin sebelum ini sering dilihat sebagai pemimpin PAS yang cenderung terhadap kerjasama PAS dengan Umno dalam Muafakat Nasional (MN) berbanding kerjasama dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

Pada 14 Januari lalu, dalam kenyataan pertama setelah pemecatannya, Khairuddin menegaskan bahawa "wajib" untuk mengusahakan perpaduan antara PAS dan Umno.

Dua hari kemudian, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mencabar Khairuddin atau mana-mana pihak untuk menyatakan isu MN dan PN sebagai punca pemecatan.

Kata Takiyuddin, sebagai individu yang terlibat dalam mesyuarat yang membuat keputusan itu, dia tahu benar apa yang berlaku dalam pertemuan tersebut.

Susulan itu, Nik Abduh berkata tindakan "orang besar parti" yang mencabar Khairuddin untuk menyatakan sebab pemecatannya adalah "buruk dan teruk".

Menyifatkan Khairuddin sebagai sahabat rapatnya, Nik Abduh berkata ahli parlimen Kuala Nerus itu kuat menyokong usaha memulihkan hubungan dalam MN yang "semakin suram cahayanya".

Sementara itu, Muhammad Sanusi menegaskan bahawa penjelasan Presiden PAS Abdul Hadi Awang bahawa pengguguran Khairuddin disebabkan isu disiplin telah memadai.

Malah, dia merasakan Khairuddin sendiri turut mengetahui sebab pengguguran itu diambil terhadapnya.

“Presiden sudah maklumkan alasannya disebabkan isu berkaitan disiplin. Tetapi tak perlulah kita ceritakan apa perinciannya kerana tindakan sedemikian akan menimbulkan masalah lain pula.

“Saya rasa tuan tubuh (Mohd. Khairuddin) sendiri tau sebab musababnya malah rakan yang menulis di Facebook berhubung perkara itu pun tahu,” katanya dipetik sebagai berkata. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS