Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penjualan sijil vaksinasi Covid-19 palsu dikesan di Kedah

Kegiatan penjualan sijil vaksinasi Covid-19 palsu turut dikesan berlaku di Kedah, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Mohd Hayati Othman.

Beliau berkata siasatan sedang dilakukan bagi mengenal pasti sama ada penjualan sijil itu dilakukan oleh doktor di pusat kesihatan kerajaan atau swasta.

“Buat masa ini saya tidak dapat dedahkan sama ada kes ini membabitkan doktor di pusat kesihatan swasta ataupun kerajaan. Kes ini masih dalam siasatan polis dan Jabatan Kesihatan negeri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri hari ini.

Dr Mohd Hayati berkata siasatan juga menjurus bagi mengenal pasti sama ada aktiviti penjualan sijil vaksinasi palsu itu mempunyai kaitan dengan sindiket yang menjalankan kegiatan itu di negeri lain.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara Razarudin Husain dilaporkan berkata setakat ini, polis menerima laporan dari empat negeri iaitu Selangor, Terengganu, Johor dan Kelantan berhubung klinik swasta menjual sijil vaksinasi palsu.

Pada 8 Jan lepas, polis Terengganu menahan seorang doktor sebuah klinik swasta selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin Covid-19 palsu di Marang.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS