Susulan kritikan terhadap keputusannya kerana mengumumkan bahawa "tiada bukti konklusif" bahawa berlaku perdagangan proksi oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini menjelaskan bahawa ia tidak menemui bukti kejadian sedemikian.
Kenyataan ini bercanggah dengan penjelasan Azam sebelum ini bahawa dia membenarkan adiknya, Nasir Baki membeli saham menggunakan akaun dagangannya.
Dalam satu kenyataan petang ini, SC berkata, ia mendapati bahawa Azam mempunyai "kawalan" ke atas akaun dagangannya sendiri.
Dia juga telah menggunakannya untuk berdagang saham.
“SC ingin menjelaskan bahawa bukti bebas yang dikumpul semasa siasatan ke atas akaun dagangan Azam menunjukkan bahawa Azam adalah pemegang akaun yang dinamakan dan mempunyai kawalan ke atas akaun dagangan tersebut;
"(Dan) Azam mengendalikan akaun yang dibukanya, kerana dia telah memberi arahan untuk membeli, menjual dan memindahkan sekuriti daripada akaun tersebut," jelas suruhanjaya itu.
“Oleh itu, SC membuat keputusan bahawa tiada pelanggaran Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA),” tambah pengawal selia pasaran modal itu.
Semalam, SC dalam satu kenyataan menyatakan mereka telah menamatkan ikuiri berkaitan dengan akaun dagangan Azam dan berdasarkan kepada bukti yang dikumpul, mereka tidak dapat membuat penemuan secara konklusif bahawa berlakunya pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) SICDA.
Seksyen 25(4) SICDA pula memperuntukkan bahawa akaun dagangan mesti dibuka atas nama yang berfaedah pemilik atau penama yang diberi kuasa.
Azam mencuri tumpuan susulan pendedahan pemilikan 1,930,000 saham dalam Gets Global Berhad (sebelum ini KBES Berhad) pada 30 April 2015 bernilai sekitar RM772,000 pada masa itu.
Pegangan sahamnya dalam Gets Global Berhad susut kepada 1,029,500 pada 31 Mac 2016. Namun ia bernilai sekitar RM340,000 pada masa itu.
Dia juga memegang 2,156,000 waran dalam Excel Force MSC Berhad pada Mac 2016.
Pemilikan saham berkenaan pada 2015 dan 2016 telah menimbulkan persoalan sama ada ia sepadan dengan pendapatannya sebagai penjawat awam atau sebaliknya dan kebimbangan berlaku konflik kepentingan.
Azam kemudian mendakwa saham itu bukan miliknya tetapi dibeli oleh adik atas namanya. Ini mendorong SC turut terlibat berhubung kemungkinan akan penyalahgunaan akaun dagangannya.