Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Adun cadang beri pelekat RFID secara percuma
Diterbitkan:  Jan 19, 2022 2:22 PM
Dikemaskini: 6:22 AM

Adun Permatang Pasir Faiz Fadzil mencadangkan agar kerajaan dan PLUS Malaysia Berhad memberikan pelekat Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) secara percuma kepada pengguna, susulan peralihan sistem pembayaran tol secara berperingkat bermula 15 Januari lalu.

Faiz berkata, harga pada masa ini iaitu RM35 adalah mahal dan hanya menguntungkan pengeluarnya.

"Tidak sepatutnya kerajaan dan Plus mementingkan kroni dalam keadaan kehidupan rakyat yang susah sekarang, ekonomi negara yang masih meleset dengan kadar inflasi 3.3 peratus pada November 2021 dan harga barang yang semakin naik.

"Oleh itu, kerajaan dan Plus digesa untuk memberikan sticker RFID ini secara percuma, kerana keuntungan pasti diperolehi melalui pembayaran tol melibatkan lebih kurang sejuta kenderaan sehari untuk menampung kos pelekat yang hanya bernilai beberapa ringgit sahaja," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, bekas perdana menteri Najib Razak turut mempersoalkan kewajaran pelekat RFID yang dijual terlalu mahal sehingga mencecah RM35 sedangkan kos pelekat itu di bawah RM1.

Peralihan sistem pembayaran itu hangat diperkatakan dengan warganet rata-rata menyuarakan rasa tidak puas hati mereka. Sistem baru itu disifatkan sebagai sistem yang menyusahkan orang ramai dari segi masa dan wang, memandangkan hanya satu kereta boleh menggunakan pelekat RFID.

Kesesakan juga berlaku di plaza tol berikutan peralihan kepada sistem itu.

Faiz berkata lagi, kerajaan dan Plus juga perlu lebih anjal dalam penggunaan RFID dengan tidak memansuhkan penggunaan kad Touch ‘n Go (TnG).

"Kad TnG sedia ada lebih mesra pelanggan kerana boleh juga digunakan untuk kemudahan lain seperti tempat letak kereta dan kenderaan awam. Kaedah penggunaan RFID sepenuhnya secara tunggal di tol lebuhraya jika dilaksanakan kelak, pasti menimbulkan masalah kepada pengguna lebuhraya apabila ia gagal berfungsi dengan baik.

"Lagipun, kad TnG boleh digunakan untuk banyak kereta, sedangkan sticker RFID hanya boleh digunakan untuk satu kereta sahaja," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS