Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Hutan Simpan Kledang Saiong dapat kelulusan membalak pada 2018
Diterbitkan:  Jan 18, 2022 4:33 PM
Dikemaskini: 8:33 AM

Kawasan Hutan Simpan Kledang Saiong dekat Kuala Kangsar yang diklasifikasikan sebagai hutan pengeluaran telah mendapat kelulusan membalak kawasan seluas 80 hektar oleh pihak berkuasa negeri pada 2018.

Pengarah Jabatan Perhutanan Perak (JPNPk) Datuk Mohamed Zin Yusop berkata berdasarkan rekod, aktiviti pembalakan telah dijalankan melalui pengeluaran satu lesen pada 2019 dan tamat pada 2020.

"Aktiviti pembalakan telah dijalankan mengikut prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan pihak jabatan," katanya dalam satu kenyataan di poh, hari ini.

Mohamed Zin berkata pihaknya berpandangan dakwaan pengguna sosial media Facebook yang memuat naik hantaran 'hutan simpan pun boleh dapat lesen untuk tarah' sehingga tular baru-baru ini, merupakan satu kenyataan lama yang pernah dimuat naik pada 2019 dan ditularkan semula oleh warganet.

"Jabatan ini berpandangan pengadu telah keliru dengan istilah Hutan Simpan Kekal yang pada anggapan pengadu aktiviti pembalakan tidak boleh dijalankan.

"Anggapan beliau (pengadu) adalah tidak tepat kerana hutan simpan kekal klasifikasi pengeluaran boleh dijalankan pembalakan mengikut prosedur dan syarat-syarat yang ditetapkan," jelas beliau.

Mohamed Zin berkata di Perak terdapat kira-kira seluas 987,000 hektar kawasan yang diwartakan sebagai hutan simpan kekal di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

Beliau berkata hutan simpan kekal ini telah diurus berasaskan kepada prinsip Pengurusan Hutan Secara Berkekalan dan bagi tujuan tersebut, hutan simpan kekal ini diklasifikasikan kepada hutan pengeluaran sebanyak 51 peratus dan hutan perlindungan sebanyak 49 peratus.

"Hutan pengeluaran adalah bagi tujuan pengeluaran hasil-hasil hutan termasuk pengeluaran kayu secara berkekalan melalui aktiviti pembalakan manakala hutan perlindungan pula adalah bagi tujuan pemuliharaan alam sekitar, bekalan air mentah serta perlindungan hidupan liar," katanya.

Semalam, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dilaporkan berkata setakat ini kerajaan negeri tidak menerima laporan berkaitan aktiviti pembalakan itu dan tidak menolak kemungkinan ia adalah gambar lama.

Baru-baru ini tular beberapa keping gambar menunjukkan batang-batang pokok ditebang dan ditarah yang didakwa berlaku di Hutan Simpan Kledang Saiong.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS